Sebuah Mimpi Sekeping Hati

September 5, 2007

Selepas sholat Asar petang ini mataku cukup mengantok sekali. Aku memang jarang tidur di waktu petang. Orang kata tidur selepas waktu Asar tidak elok tetapi di sebabkan mengantok sangat kupejamkan juga mata ini, tambah pula malam tadi seperti kebiasaannya aku berjaga malam.

Malam tadi sebelum tidur kuambil ‘Beclofen’ untuk merehatkan otot-ototku yang kejang (spasm). Kesan ‘Beclofen’ ini yang membuatkan aku mengantok di siang hari tetapi tidak pula malam hari. Sudah lama aku berhenti mengambilnya kerana kehabisan stok.

Mengikut nasihat doktor aku perlu mengambil 3 biji setiap hari tetapi aku cuma mengambil 3 biji untuk seminggu, patutlah spasm ku kuat sekali. Sebiji ‘Beclofen’ bersaiz 3mg yang sebesar setengah daripada panadol berharga RM 4. Jika sehari diambil 3 biji seperti di sarankan oleh doktor bermakna RM12 sehari dan untuk sebulan bermakna RM360. Huuhh…mahalnya harga untuk merehatkan otot-ototku. Itu belum lagi termasuk ubat-ubatan dan suplimen yang lain. Tidak mengapa, biar kubayar harga ubat itu dengan kekejanganku, tanpanya aku masih lagi bernafas sehingga kini. Tuhan itu maha Adil.

Berbalik pada kisah tidurku, hemmm…nyenyak betul tidurku di petang hari. Hampir Maghrib baru kuterjaga. Dalam tempoh tiga jam jauh perjalanan mimpiku. Selalu bila bermimpi, aku seperti kalian, berjalan dan juga berlari tidaklah cacat sebegini. Tapi kali ini lain pula mimpiku, aku berjalan tetapi bertongkat. Tidak mengapalah, walaupun bertongkat janji aku dapat berjalan.

Kali ini aku bermimpi pergi berziarah ke rumah adik-adikku. Rumah pangsa, walaupun hanya dengan bertongkat aku gagahi menaiki anak-anak tangga untuk sampai ke rumah mereka. Payah juga untuk kakiku mengatur langkah untuk sampai di depan pintunya. Kepayahanku berbalas bila dapat bertemu dengan adik-adikku dan juga anak-anak saudaraku yang telah lama tidak kutemui.

Bila terjaga dari mimpi aku tersenyum lantas aku ceritakan kepada anak dan isteriku tentang mimpiku itu. Cukuplah hanya di alam mimpi aku bertemu dan bergembira dengan mereka. Walaupun pun pada zahirnya kalian, abang-abangku, adik-adikku dan juga anak-anak saudaraku sudah sekian lama tidak lagi datang menziarahiku. Sungguh mahal sekali harga sebuah persaudaraan buat kalian semua.

Entahlah……sudah di takdirkan begini nasibku, di pinggirkan oleh ahli keluargaku sendiri setelah berstatus cacat. Pun begitu aku tetap gembira punya keluarga di sebelah isteriku yang mengambil berat tentang diriku dan mengantikan ahli keluargaku yang hilang entah kemana.

Hidup ini umpama putaran ‘Eyes on Malaysia’, ada ketika kita bergembira, gelak ketawa bila berada di puncak. Kita lupa seketika untuk merenung mereka yang di bawah. Pasti akan tiba waktunya putaran roda itu akan membawa kita turun ke bawah jua.

Mimpiku sungguh indah sekali tapi sedu hati bilaku kukenangkan.

Lagu ‘Mati Hidup Semula’ kusisipkan bersama catatanku ini.