Sekeping Pampers Sehelai Kain Pelekat

July 25, 2007

Semalam semasa isteriku menyuapkan kumakan, aku sempat membacakan cerita di blogku. Cerita ‘Serupa tapi tak sama’ sebagai menghargainya menyuap kumakan.

“Okey sambil Ain suapkan makan, abang bacakan cerita baru abang.”

“Tapi Ain jangan menangis!,”kataku mengusiknya.

Sambil menikmati nasi berlaukkan sambal ikan sardin, aku membaca perenggan demi perenggan ceritaku itu. Sesekali aku berhenti membaca kerana kepenatan. Melakukan dua kerja dalam satu masa …mengunyah dan membaca.

Setelah habis cerita kubacakan, aku melihat wajah dan reaksinya. Sama ada dia menangis atau tidak.

Hmmm….isteriku tidak sedih langsung mendengar ceritaku, memang kuat hatinya. Sebaliknya air mataku pula yang berlinang jatuh. Betul bak kata pepatah melayu ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ Jadi aku ini ‘bahu’lah yaa…huhuhu.

Lupakan kisah mata dan bahu, ikuti nostalgiaku kali ini….

Beberapa hari kebelakangan ini, jari yang kugunakan untuk menekan keyboard se akan lemah. Kejangku (spasm) bertambah kuat. Kejangku ini bukan boleh di bawa berunding, jika tidak berhati-hati kakiku boleh menendang (involuntary movement) sesiapa yang cuba membetulkannya.

Hanya mereka yang mendapat kecederaan saraf tunjang (SCI) saja yang dapat mengambarkan atau merasai siksanya kejang ini. Tidak sakit tetapi menyiksakan.

Beberapa kali isteriku cuba meluruskan kakiku tetapi kaki ini se akan melawan. Makin cuba di lurus makin dia menendang. Kadang-kadang aku rasa kaki ini se olah-olah ‘dengki’ pada isteriku. Jika tidak kuat semangat dan tenaga mahu saja’ naik angin’ bagi mereka yang menjagaku.

“Ain ambilkan parang potong saja kedua-dua kaki ini,”kataku, geram pada kaki yang sering kejang ini.

“Kalau nak potong, baik potong paras leher, biar tinggal kepala saja, tak payah nak jaga luka di punggung abang lagi,” tambah isteriku. Aku tersenyum mendengar katanya. Aku tahu, dia perliku.

Badanku di ngerengkan untuk memudahkan luka di punggungku di bersihkan. Luka ini perlu di bersihkan setiap hari.

“Abang tak mahu tulis ke cerita abang pakai pampers?”Tanya isteriku sambil membuka lekatan di pampersku.

“Ishh…. malulah, tulis cerita pasal abang pakai pampers,” kataku.

“Bagaimana keadaan luka abang?”Tanyaku.

“Luka abang ni dalam, susah nak baik,”kata isteriku sambil menunjukkan ukuran kedalaman lukaku. Lebih satu inci dalamnya.

“Macamana nak cepat baik Ain?”Tanyaku lagi.

“Abang kena bangun dan berjalan semula, kalau terbaring macamana nak baik,”jelas isteriku.

Aku hanya diam. Sesuatu yang di luar dari jangkauan fikiranku. Pun begitu aku tidak pernah berputus asa. Setiap kali mengadapNya, pasti kupohon doa dari yang Maha berkuasa…

Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku
Dosa-dosa besarku, dosa-dosa kecilku
Ya Allah,
Berilah aku peluang untuk hidup seperti manusia biasa
Berilah aku peluang untuk bertaubat dan menebus dosa-dosaku
Berilah aku peluang untuk sujud dan bertaqwa kepadamu
Ya Allah,
Berilah aku kekuatan dalam menempuh dugaan ini.
Berikan kekuatan kepada kedua-dua belah tanganku ini
Berikan kekuatan kepada pinggang dan tengkukku ini

Berilah aku peluang untuk duduk seperti dahulu
Sembuhkanlah lukaku ini….Amin.

Sambil isteriku membersihkan lukaku, aku terkenang waktu aku sihat dahulu. Terkenang pada jenama pakaianku dulu. Seluarku berjenama ‘John Master, Padini, Wrangler, Lee Coopers entah apa lagi. Bajuku pula berjenama ‘Padini, Crocodile, Elba… entah banyak lagi, aku pun sudah lupa, sudah lama pakaianku ini terperuk di dalam almari.

Kini semuanya tinggal kenang-kenangan. Jika dulu seluarku ‘John Master’ jenamanya, sekarang ‘pampers’ menggantikannya. Jika dulu kemeja biru jenama ‘Padini’ bertali leher merah pakaianku, kini sepanjang waktu aku tanpa baju.

Jika dulu sebatang pen tersisip megah di poket bajuku, kini tiub kencing tersisip malu di badanku. Jika dulu pen dakwat hitam melakar detik-detik kejayaanku. Kini warna kuning kencingku menitik melingkari kesuraman hidupku.

“Wah…KS, macam GM (General Manager) pakai kot,”kata Kak M, mengusikku.

Memang di pejabat aku sering memakai kot waktu bekerja. Bukan nak melaram tetapi kesejukkan. Kulit aku nipis, alah dengan hawa dingin.

“KS, Azman cakap nii, bawa fail jumpa saya sekejap,”suara bosku di ganggang telefon.

Bila setiap kali di panggil mengadap bos, pasti kot aku tanggalkan. Bukan apa, aku malu, nanti di katakan pula melawan tokei. Bos pun tak pakai kot….hehehe.

Sesungguhnya bosku En. Azman yang kukenali lebih sepuluh tahun memang suka melihat staffnya yang berketrampilan, berkeyakinan dan berpersonaliti.

Sesekali bila mengadap cermin di tandas aku berkata-kata di dalam hatiku “Boleh tahan juga aku ya, berkemeja putih bertali leher merah dan berkot gelap, macam GM!” Aku ke nii!, macam tak percaya…hahaha.

“Abang, Ain nak pusingkan badan abang, nak pakaikan pampers,”kata isteriku mengejutkan nostalgiaku.

Setiap kali di pakaikan pampers, setiap kali itu juga semangatku hilang. Tiada lagi kemeja lengan panjang bewarna biru di tubuhku. Tiada lagi tali leher merah tergantung di leherku.

Yang ada, hanya sekujur tubuh kaku yang di tutupi sekeping pampers dan sehelai kain pelekat.


Serupa Tapi Tidak Sama

July 23, 2007

Sudah dua minggu sejak ketiadaan anakku, aku tidak diangkat duduk di kerusi roda. Hari ini anakku pulang bercuti. Jadi petang ini aku berpeluang duduk dan mandi setelah lama badanku ini tidak di basahi air.

Di luar hujan mulai turun renyai-renyai. Walaupun cuaca agak sejuk aku tetap berdegil untuk di mandikan. Jika tidak di mandi petang ini, aku terpaksa menunggu seminggu lagi. Esok anakku akan kembali ke kolejnya. Badanku tidak boleh menunggu lebih lama lagi, rindunya pada air tidak terkira. Gelora rindunya bagaikan pungguk rindukan bulan. Seumpama Laila rindukan Majnun. Orang kata penantian adalah satu penyiksaan.

Anakkku memaut belakangku sementara isteriku mengampu bahagian kakiku. Mereka bersiap sedia untuk mengalihkan badanku dari katil ke kerusi roda.

“Satu, dua, tiga!” secara serentak badanku diangkat ke kerusi roda.

“Perghhh, beratnya badan abang, sakit pinggang Ain,”keluh isteriku sambil memicit-micit pinggangnya.

“Angkat sikit kepala abang, terkulai macam orang patah tengkok saja,”tegur isteriku sambil menolak daguku ke atas.

Memang begitu keadaanku bila setiap kali di angkat. Badan dan kepalaku terkulai ke depan. Aku tidak berupaya menahannya. Aku seperti pokok pisang tua yang di cantas jatuh menyembah bumi.

“Ikat badan ayah kau Amir, nanti jatuh pula ke bawah,”kata isteriku sambil menghulurkan tali pinggang kepadanya.

Tali pinggang biru yang mengikat badanku ini pernah megah terikat di pinggang anakku. Tali pinggang yang di pakai olehnya ketika bertarung di gelangang Taekwando. Kini tali pinggang itu menjadi miliku selamanya. Aku juga sedang bertarung di gelangang, bertarung dengan realiti kehidupan .

Setelah badanku di ikat rapi, kerusi rodaku di tolak keluar ke bahagian depan rumah. Di sini tempatku di mandikan sejak lima tahun dulu. Ruang ke bilik air rumahku tidak mesra OKU, laluannya sempit. Di sini juga satu hari nanti aku akan di mandikan untuk terakhir kalinya.

“Indah, ambil sabun,syampo dan berus gigi bawa ke sini,”jerit isteriku pada anakku yang leka mengadap PC.

Pili air dibuka, perlahan-lahan air disiramkan ke tubuhku. Bermula dari kaki naik ke badan. Bahagian badanku ibarat mencurah air di daun keladi, tidak terasa kesejukannya. Ketaran tubuhku mula terasa bilamana air mencecah di bahagian bahu dan mukaku.

Isteriku mengosok-gosok daki di badanku. Mataku pula tertumpu melihat gelagat se ekor kucing yang terbaring di dalam sangkar. Kedua-dua kakinya cedera di gelek kereta sebulan yang lalu. Kini kucing ini hilang upaya untuk bergerak dan berlari.

Simpati pada kucing yang tidak mampu bergerak, lalu di jadikan kucing angkat oleh anakku. Setiap hari di beri makan dan minum, di bersihkan najisnya, diletakan ubat di kakinya dan di mandikannya. Anakku yang satu ketika dulu takut dan geli dengan kucing kini mulai berani. Dari rasa simpati kini bertukar kepada rasa sayang.

Melihat keadaan kucing ini teringat pada diriku. Nasib kita lebih kurang sama saja. Kedua-duanya kurang upaya. Kau tidak boleh berjalan, aku pun begitu. Kau terbaring lesu, aku pula terbaring kaku. Kau tidak mampu mencari makanan sendiri, harapkan simpati orang. Begitu juga diriku, segala-segalanya perlukan bantuan.

Yang membezakan kita, aku manusia kau pula haiwan. Aku punya keluarga dan tanggung jawab, kau pula tidak. Aku punya akal dan fikiran, kau….aku tidak pasti.

“Buka gengaman jari abang, Ain hendak gosok jari-jari tuu,”pinta isteriku menyentak lamunanku pada si kucing yang kurang upaya.

Petang ini tiada lagu yang kudendangkan untuk menghibur hati. Hatiku sesuram dan sedingin cuaca petang ini. Aku tidak seceria seperti hari-hari selalu bila di mandikan. Nasib si kucing ini mencuri ruang fikiranku petang ini.

“Ambil berus gigi ini, belajar gosok gigi sendiri,”kata isteriku sambil menghulurkan berus gigi berkuasa bateri kepadaku. Inilah satu-satunya aktiviti yang mampu kulakukan sendiri setakat ini.

Hujan turun semakin lebat. Gigiku mula mengetap bibir kesejukan. Sebelum masuk ke dalam rumah aku sempat melihat kucing kurang upaya tadi. Kesian dia terbaring saja, tidak seperti kucing-kucing lain berlari ke sana dan ke sini. Entah sampai bila dia perlu bergantung hidup di atas ihsan orang.

Dalam hatiku berkata ‘Apa kurangnya aku’. Kita serupa tapi tidak sama…….


Di sana Sayang Di sini Cinta

July 22, 2007

Entri dari blog utamaku ”Nostalgiaku” 

Senangnya dalam hati
Kalau beristeri dua
Seakan dunia
Ana yang empunya

Kepada isteri muda
Ana saya padanya
Kepada isteri tua
I say I love you

Itu sebahagian lirik lagu Allahyaham Tan Sri P.Ramlee mengambarkan cintanya kepada kedua-dua isterinya. Kepada suami-suami yang ingin beristeri dua perlulah bersikap adil kepada isteri-isterinya. Buat isteri-isteri yang berkongsi suami pula hendaklah bertolak ansur agar rumah tangga bahagia tidak porak peranda. Jangan pula suruh suami tidur dekat kandang kuda macam filem ‘Tiga Abdul’ tuu…hehehe.

Apa yang hendak kuceritakan ialah tentang blogku ini. Kini aku punya dua blog yang namanya berbeza tetapi isi kandungnya serupa. Satu berwarna hitam dan satu lagi berwarna putih sesuai dengan tema blogku ‘Hitam Putih Warna Kehidupanku’.

Sesiapa yang alah dengan warna hitam bolehlah ke sana. Kepada yang gemar bersunyi-sunyian sesuailah di situ.

Walaupun punya dua blog aku akan cuba mengemaskinikan kedua-duanya. Di sana sayang di sini cinta. Blog di sini ibarat isteri tua dan blog di sana seumpama isteri muda. Walaupun isteri yang muda lebih cantik tetapi jasa isteri tua tidak mungkin di lupakan. Susah senang kita bersama.

Jika berkesempatan sila lawati blog WordPress ku Dari Katil Kekasihku

Kalau dua-dua merajuk ana kawen tiga……….


Terima Kasih Puan Sifu & Unika

July 19, 2007

Terima kasih buat teman2.
Blog di wordpress ini baru beberapa hari di bangunkan sebagai saudara kembar blog utama saya di blogspot. Segala entri di sini di impot masuk terus dari blog utama saya. Entri-entri asal yang mempunyai gambar atau youtube video tidak dapat dimasukkan di sini. Masih banyak terdapat kekurangan di sini kerana saya masih belum mahir dengan wordpress.

Saya tidak menghebahkan blog ini kerana masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Saya tidak menyangka blog ini dapat di jejaki oleh Unika.

Blog utama saya masih di blogspot, walau bagaimana pun saya akan mengemaskini blog  ini seperti blog utama saya.


Dari Katil Kekasihku

July 19, 2007

Puan Ainon dan Fifi. Gambar ihsan dari blog Fifi.

Seperti hari-hari sebelumnya, jam 7.00 pagi baru mataku mulai keletihan setelah semalaman bersengkang mata. Tidur waktu siang tidak se nyenyak tidur di malam hari. Tidur-tidur ayam orang kata. Baru hendak terlena tiba-tiba kedengaran suara apek menjerit “Surat khabar lama, bateri lama, old news paper!”, sakitnya hatiku. Sedang asyik di ulit mimpi indah tiba-tiba dikejutkan pula dengan suara penjual tilam “Tilam lama tukar tilam baru!”, ponk! ponk! Ponk! di ikuti dengan bunyi horn lorinya…argghhh geramnya.

Lebih kurang jam 1.00 tengah hari mataku kembali segar. Seperti kebiasaannya aku terus membuka laptop untuk membaca mesej di blogku. Ermm…mesej dari baiksss, satu-satu teman setia blogku yang tidak jemu-jemu mengunjung blogku siang mahu pun malam. Kau (baiksss) memang selalu di hatiku, jangan salah tafsir ya!. Dia seperti anak dan adikku, sering memberi semangat dan kata perangsang kepadaku.

Wah ada mesej dari Fifi berbunyi “Tuan Matahati! Puan Sifu sudah beri green light lagi tu. Hah, kali ini jangan terhenti lagi ya! Teruskan berkarya”. Buat Fifi, terima kasih kerana memberi suntikan semangat kepadaku tempohari. 

Selain di kenali sebagai Kassim Selamat dan Lagendabuta, aku juga di kenali sebagai Matahati. Semua nama-nama itu berkait rapat dengan watak si buta Kassim Selamat. Orang kata, biar banyak nama jangan banyak isteri…hehehe.

Aku terus ke web Universiti Terbuka PTS (Unika) milik Puan Sifu untuk mengatahui ceritanya. Tersenyum aku bila membaca mesej Puan Sifu. Beliau memberi galakan kepadaku untuk menulis dan bersedia menerbitkan buku karyaku. Inilah hari yang paling gembira buatku. Memang aku menyimpan hasrat untuk membukukan pengalaman hidupku.

Untuk makluman teman-temanku, Puan Sifu atau nama sebenar Puan Ainon Mohd adalah seorang penulis dan Pengerusi PTS Publications & Distributors. Ramai nama-nama besar penulis bernaung di bawah PTS. Di antaranya ialah Dato’ Dr. Haron Din, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, Dato’ Hadi Awang dan ramai lagi.

Mula hari ini aku akan mulakan penulisanku. Doakan agar aku di berikan kesihatan yang baik agar aku dapat merealisasikan impianku. Moga terhasil karyaku “Dari Katil Kekasihku”, tajuk buku yang diberi oleh Puan Sifu…InsyaAllah.


I Did It My Way

July 19, 2007

Semalam lepas berbuka puasa dan maghrib aku minta di ngerengkan. Belakangku dan luka di punggungku terasa pedih dan pijau. Dengan mengereng dapat mengurangkan tekanan pada lukaku. Aku jarang tidur awal, paling lewat pun aku tidur pukul 3.00- 4.00 pagi. Mungkin kerana kekenyangan dan keletihan berpuasa, aku tertidur seketika.

Jam 11.00 malam aku terjaga. Aku terus membuka laptop yang memang senantiasa di berada di sisiku. Aku masuk ke blogku dan membaca mesej-mesej yang ada di situ. Oh ada permintaan lagu dari UncleJ. Lagu lama nyanyian Frank Sinatra ‘I Did It My Way’. Aku gemar juga mendengar lagu sentimental ini, teringat zaman kanak-kanak dulu.

Untuk tidak menghampakan UncleJ, aku cuba mencari-cari lagu tersebut di internet. Agak payah juga untuk jariku menekan ‘keyboard’ dalam keadaan mengereng. Aku menggunakan segala tenaga dan anggota tanganku. Jari ‘hantu’ tangan kananku menolak ‘touch pad’ sementara lengan kiri kuletakan di tepi laptop agar aku dapat melihat huruf-huruf di ‘keyboard’. Sesekali kakiku kejang (spasm) yang membuat laptopku beralih-alih. Mujur anakku belum tidur, jadi dialah yang membetulkan kembali posisi badanku.

Memanglah menaip dalam keadaan mengereng amat menyusahkan. Segala pergerakan jariku terbatas tetapi kuanggap ini semua sebahagian daripada ‘exercise’. Jari dan lenganku perlu terus bekerja dan terus bergerak. Jika tidak ia akan terus kaku dan keras.

Sementara menunggu lagu habis di muat turun (download), aku menyanyikan lagu tersebut dalam versi kusendiri. Liriknya kutukar tetapi melodinya tetap sama ‘I Did It My Way’, aku ikut caraku bukan cara Frank Sinatra.

“Ooi buang tabiat ke?, nyanyi lagu orang putih tengah-tengah malam,”sergah isteriku.

Aku hanya tersenyum, semakin berperasaan aku menyanyikan lagu tersebut tetapi liriknya lintang pukanglah. Setelah selesai muat turun, aku masukkan lagu tersebut ke blogku.

Moga UncleJ gembira mendengarnya……’I Did It My Way’….

Lebih kurang pukul 4.00 pagi barulah mataku terasa letih….Zzzzzzzzzzzzz

Catatan pada Rabu 5.10 am.


Yang Sakit dan Yang Sihat

July 17, 2007

Aku agak tersenyum bila ada yang memanggilku Pak Kassim di blog mahu pun di ‘chat box’ ku. Terasa semakin tua pulak diri ini…huhuhu. Pada hakikatnya memang aku pun dah tua….hahaha…tadi sedih ni dah gelak kembali, itulah namanya manusia, perasaan cepat berubah-ubah.

Sebut pasal Pak Kassim, teringat aku pada jiranku yang kupanggil Pak Kassim. Usianya di awal tujuh puluhan, orangnya tinggi dan tegap. Dulu masa sihat, aku seringkali bersholat Tarawih di sebelahnya.Setiap kali dia bangkit untuk memulakan rakaat seterusnya pasti mukanya berkerut. Dari pergerakannya, aku rasa Pak Kassim mempunyai masalah kaki. Dia tak boleh berdiri lama, rukuk dan sujud yang kerap membuat kakinya sakit. Pun begitu dia tetap mahu bersholat seperti orang biasa. Pak Kassim boleh bersholat duduk jika dia mahu.

Semasa bersholat di sebelahnya pernah terdetik di hatiku “Agaknya besok kalau aku tua pun begini, sakit-sakit kaki”. Rupa-rupanya tak sempat tua (40an masih kategori muda pada lelaki…hehehe) aku dah hilang kaki…huhuhu, mana nak sangka begini!!

Satu petang selepas di mandikan, aku duduk di depan rumahku sambil menghirup udara petang. Sebentar kemudian lalu sebuah skuter biru di tunggang oleh seorang lelaki tua yang berkopiah. Bila melintasi di hadapanku, lelaki tua ini melemparkan senyuman kepadaku. Aku membalas kembali senyumannya.

Itulah dia Pak Kassim….masih sihat dan bersekuter lagi!! Aku tersenyum sendiri teringat Pak Kassim yang dahulunya bersholat di sebelahku. Sekarang dia bersekuter sedangkan aku berkerusi roda. Itulah takdir namanya, kita merancang dan tuhan yang menentukan.

Yang tua tidak semestinya mati dulu dan yang sihat tidak semestinya sihat selalu.

Inilah orangnya yang mengilhamkan nama Pak Kassim Adiejin


Fadhilat Berpuasa Bulan Rejab

July 14, 2007
Wahai Saudara-saudaraku yang budiman, Pada hari Isnin tanggal 16 Julai 2007 kita memasuki bulan Rejab. Bulan Rejab adalah bulan Allah swt. Mari kita semak ada apa di sebalik bulan Rejab itu. Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda, “Ketahuilah bahwa bulan Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:

* Barang siapa yang berpuasa satu hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keridhaan yang besar dari ALLAH swt

* Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab 1428/Isra Mi’raj (Sabtu, 11 Ogos 2007) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa

* Barang siapa yang berpuasa dua hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt

* Barang siapa yang berpuasa tiga hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (16,17,18 Julai 2007) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan siksa akhirat

* Barang siapa berpuasa lima hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dikabulkan Allah swt

* Barang siapa berpuasa tujuh hari dalam bulan ini, maka ditutupkan tujuh pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan delapan pintu syurga

* Barang siapa berpuasa lima belas hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari
puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya.”

Sabda Rasulullah saw lagi :”Pada malam Mi’raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari
madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as “Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?”
Maka berkata Jibrilb as “Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca salawat untuk engkau dibulan Rejab ini.”

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :”Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu
Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt.
Lalu saya bertanya kepada beliau “Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?”
Lalu beliau bersabda “Wahai Tsauban, mereka itu sedang disiksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka.”

Sabda beliau lagi “Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mau berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab niscaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur.”
Tsauban bertanya “Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari siksa kubur?”

Sabda beliau “Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan sholat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat karena ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan sholat malam satu tahun.”

Sabda beliau lagi “Sesungguhnya Rejab adalah bulan ALLAH, Sya’ban Adalah bulan aku dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku.” “Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Sya’ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang, serta tidak akan merasa lapar dan haus bagi mereka.”

Artikel di ambil dari email seorang teman. Sila OFF kan lagu blog untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci…syahdu bacaannya.


13 Julai..Kenangan Lalu Menggamitku

July 13, 2007
Kisah-kisahku masih berkisar tentang ‘Nostalgia’, sesuai dengan tema blogku. Aku insan yang hidup penuh dengan nostalgia. Setiap kisah-kisah hidupku di sini, kusisipkan dengan lagu-lagu yang mengembalikan nostalgia itu. Untuk kisahku kali ini lagu Fantasia Bulan Madu’ menjadi ingatanku . Walaupun liriknya tidak langsung berkait rapat dengan kisahku tetapi lagunya menggamit nostalgia silamku. Pertama kali lagu ini kudengar, aku terbaring di katil hospital sambil mataku se olah-olah memandang ke ‘bulan madu’.

Ceritaku bermula begini………….

Dua puluh tahun yang lalu pada 13 Julai 1987, aku berseorangan menunggang kapcaiku dari arah Kajang menuju ke pejabatku di Jalan TAR. Entah apa yang kufikirkan ketika menunggang hingga lori di hadapanku membrek pun aku tidak perasan. Booommm………….

Aku merempuh belakang lori, mukaku menghentak besi penghadang belakang lori lalu tersungkor aku jatuh ke jalan. Bila tersedar aku sedang berada di atas belakang sebuah lori yang sedang membawaku ke hospital. Darah mengalir dari daguku, terasa kaki kiriku sakit sekali. Aku cuba meluruskan kakiku tetapi gagal berbuat demikian.

Setelah di xray dan luka di daguku dirawat, aku di bawa dari hospital Kajang dengan ambulan ke hospital Kuala Lumpur. Inilah pertama kali dalam hidupku menaiki ambulan. Aku di bawa ke wad kecemasan dan kemalangan untuk di rawat. Keluar dari bilik rawatan, ibu dan abangku sedia menanti. Ibuku mengusap-ngusap mukaku dan memintaku bersabar dan bertenang. Aku memang kememeh sedikit orangnya, cepat sangat nak menangis. Aku di maklumkan bahawa tulang pehaku lari dari kedudukan asalnya dan tulang rahang daguku patah. Pandangan mataku berganda (double vision) akibat hentakan kuat di muka.

Aku di tempatkan di Institute Ortopedik untuk rawatan selanjutnya. Seminggu aku terbaring tanpa boleh bergerak…aduh terasa seksanya hidupku. Ketika terbaring inilah lagu ‘Fantasia Bulan Madu’ berkumandang dari radio pemberian arwah ibuku. Minggu kedua barulah aku menjalani pembedahan memasukkan plet/skru di pehaku. Di bahagian dagu pula, kedua-dua rahang atas dan bawahku di ikat dengan sejenis dawai agar rahang yang patah bercantum kembali. Mulutku tidak boleh menganga dan kedua-dua gigi atas dan bawahku tertutup rapat. Aku tidak boleh membuka mulut dan ini bermakna aku tidak bolih makan seperti biasa selagi dawai pengikat rahangku tidak di buka.

Aku di rawat selama 18 hari di hospital dan di benarkan pulang pada petang hari raya haji. Itu pun setelah aku merayu pada doktor yang merawatku untuk pulang beraya di rumah. Aku tidak sanggup mendengar takbir raya dari atas katil di hospital. Sayu hatiku nanti….

Pagi raya haji tahun itu sungguh berbeza sekali buatku. Aku hanya duduk sambil memerhatikan juadah di depanku. Ketupat dan rendang hanya boleh kupandang saja tanpa boleh kurasakan. Pun begitu aku bersyukur masih dapat beraya dengan anak dan isteriku. Ketka itu anakku baru seorang saja dan baru berusia lapan bulan. Isteri pula tetap seorang saja…hehehe.

Aku di beri cuti sakit selama dua bulan. Untuk menjaga makan minumku, aku berpindah ke rumah mertuaku. Bila isteriku keluar berkerja, tinggallah aku dengan anak dan mertuaku. Aduh!! sudahlah aku ini jenis menantu yang berat mulut terpaksa pula tinggal dengan mertua…mati kutu aku!!.

Setiap pagi aku akan di hidangkan dengan minuman milo dan bijiran nestum (nestum memang kegemaranku). Makanan tengah hari dan makanan malamku ialah bubur yang di masak sehingga hancur dan di makan bersama kuah saja. Jika ingin makan bersama lauk, ikan atau ayam perlu di hancur-hancurkan dahulu. Jika tidak betul-betul hancur, ia tidak lepas ke tekakku. Gigiku menjadi penghalangnya.

Oleh kerana masakan asasi mertuaku ialah ‘masak lemak’, jadi hari-hari aku makan bubur berkuahkan masak lemak…ermm sedap juga! Inilah sarapan pagiku dan makanan harianku selama lebih kurang dua bulan. Jika aku teringin makan masakan kuah kari, aku akan pulang kerumah arwah ibuku. Ibuku tahu kari masakan kegemaranku, ikan sardin masak kari di hidangkan kepadaku setiap kali aku ke rumah ibuku.

“Jas, kat rumah mertua selalu makan masakan apa? Itulah pertanyaan arwah ibuku ketika aku ke rumahnya.

“Makan bubur juga tapi dengan kuah lemak,”jawabku.

“Tapi makan tak kenyanglah,”tambahku lagi.

“Kenapa tak kenyang pula?arwah ibuku bertanya seakan hairan.

“Malu nak minta tambah bubur kat mak mertua,”kataku sambil ketawa. Setiap kali makan mertuaku memang menyuruhku tambah cuma aku saja yang agak malu.

“Nak minta tambah pun malu!, kat sini makan kenyang-kenyang,”kata arwah ibuku sambil menambah bubur dan kari sardin ke pingganku.

Itulah kata-kata kenangan bersama arwah ibuku ketika makan tengah hari di rumah arwah ibuku. Aku bergilir-gilir tinggal di rumah ibuku. Seminggu di rumah mertuaku dan seminggu di rumah ibuku. Seminggu ‘masak lemak’ dan seminggu ‘kari sardin’…hehehe.

Oleh kerana cara pemakananku berubah, badanku juga turut berubah. Berat badanku semakin hari semakin susut dan ukuran pinggangku semakin kecil. Aku sudah mula boleh memakai pakaian-pakaian lamaku…suka juga hatiku, tak payah beli pakaian baru.

Dalam tempoh dua bulan aku sering berulang alik ke hospital Kuala Lumpur membuat rawatan susulan. Pergi pagi pulangnya petang, biasalah hospital kerajaan, masa menunggu lebih lama dari masa rawatan. Isteriku yang menemaniku setiap kali ke hospital.

Bulatan di Pudu Raya (rasanya bulatan itu sudah tiada lagi) menjadi saksi bertapa sukarnya aku hendak melintasi di antara simpang Bangunan Cahaya Suria ke perhentian Pudu Raya. Terkial-kial aku dengan tongkat di ketiak cuba melepasi deretan kereta-kereta yang tidak putus-putus silih berganti berpusing di bulatan itu.

13 Julai dua puluh tahun yang lalu sebelah anggota kakiku patah, dua puluh tahun kemudian, aku kehilangan kedua-dua belah kakiku (lumpuh). Itulah suratan hidup namanya……..

Jariku mulai menunjukkan tanda-tanda ketidakupayaan untuk menghabiskan ceritaku. Di kesempatan yang lain akan kuceritakan hari-hari seterusku. Hari-hari di mana isteriku duduk bersimpuh di depanku setiap subuh pagi menyarungkan stokin ke kakiku.


‘Mimpi Bukannya Realiti’

July 12, 2007
Ini cerita yang kutulis setahun yang lalu pada tarikh yang sama. Sekadar ulangan dan nostalgia.
Sekadar nak bercerita tentang mimpiku malam tadi, sungguh menarik tapi sayang hanya mimpi bukan realiti.

Memang aku sering bermimpi berjalan di dalam setiap mimpi-mimpiku. Di dalam mimpi aku tidak lumpuh, aku insan biasa yang berjalan ke hulu dan kehilir.

Mimpi malam tadi membawa aku berjalan ke Jalan Chow Kit, dengan menggunakan tongkat aku menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman, jalan-jalan yang sering aku lalui dahulu, mungkin jalan-jalan itu rindu kepadaku agaknya atau aku yang merinduinya…..ooh Jalan Jalan sesungguhnya kakiku amat merindui kebisinganmu dan kesibukanmu.

Sempat juga mimpi dan kakiku membawaku mengintai-gintai pasar malam/pagi ‘Uptown’ yang sering di ceritakan oleh anakku. Walaupun realitinya aku tidak pernah kesana tapi cukuplah di dalam mimpi aku sempat menjengukmu wahai ‘Uptown’.

Mimpiku jua membawa aku kembali ke pejabat lamaku. Majikanku kembali menerimaku berkerja, ermm……….seronoknya, tapi di dalam mimpiku, aku hanya di beri sekeping kertas putih dan sebatang pensel untuk aku belajar menulis……..A B C , tidak mengapalah terima saja apa yang diberikan. Di dalam mimpiku aku sempat berkata ‘walaupun sudah empat tahun aku tidak menulis tapi tulisanku masih cantik seperti dahulu juga’

Tapi sayang mimpiku berakhir begitu cepat sekali, aku masih belum puas berjalan-jalan. Aku berharap agar ada sambungan mimpiku ini.