"Mandilah Kamu Sebelum Kamu Di mandikan"

Malam tadi habis badan dan cadarku basah terkena kencingku sendiri gara-gara cathetherku tersumbat. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini seringkali cathetherku buat perangai. Alhamdullilah semasa di Mekah dulu cathetherku tiada bermasalah, jika tersumbat payah juga untuk aku beribadat.

Bila satu badan sudah terkena kencing terpaksalah aku di mandikan. Seronok aku bila di mandikan oleh isteriku. Orang sepertiku bukan boleh dapat mandi hari-hari. Seminggu sekali sahaja, jika bernasib baik dapatlah dua kali seminggu. Bukan isteriku tidak mahu memandikan aku setiap hari tetapi masalah untuk mengangkatku.

Hampir sejam aku di mandikan oleh isteriku. Semasa sihat dahulu mandiku cuma lima minit sahaja…hehehe. Malam ini tidak seperti kebiasaan, tiada lagu yang kudendangkan malam ini. Di langit pun bulan tidak kelihatan, maklumlah tengah bulan….hehehe.

Selepas mandi seperti biasa isteriku membuat ‘dressing’ pada lukaku. Memotong kuku di jariku dan menyapu krim losyen pada badan dan kakiku agar kulitku tidak kelihatan kering. Sejak aku sakit losyen menjadi salah satu keperluanku di badanku, macam bayi pulak. Semasa sihat dahulu tidak pernah kusentuh losyen-losyen ini.

Semasa isteriku menyapukan losyen di kakiku aku sempat mengingatkan isteriku.

“Kalau abang mati esok, jika nak ambil ukuran kubur, kena ambil dari kepala hingga ke hujung jari kaki.”

“Jangan ukur dari kepala ke tumit kaki, nanti nak masuk abang ke liang lahad tak muat pula,”kataku mengingatkan isteriku.

“Kenapa pula hujung jari kaki, tidak pada tumit?”tanya isteriku.

“Cuba tengok tapak kaki abang, dah jatuh! betis dan tapak kaki dah tak bentuk ‘L’lagi,”aku menyuruh isteriku mengerak-gerakkan tapak kakiku yang sudah mulai jatuh.

“Sudah lama tidak di gerakan tapak kaki ni sebab itu dia jatuh,”kata isteriku sambil menyapu losyen ke kakiku.

Aku teringat masa ikut mengkebumikan jiranku satu ketika dahulu, apabila jenazah di turunkan ke liang lahad jenazah tidak dapat di masukkan kerana panjang ukuran liang lahad tidak sama dengan panjang jenazah. Pengkebumian terlewat kerana liang lahad terpaksa di gali sedikit. Aku tidak mahu perkara seperti ini berlaku pada diriku bila aku mati nanti.

Lama juga aku berfikir apakah tajuk nak kuberikan pada ceritaku ini. Rasanya tajuk yang kuberikan ini bersesuaian dengan ceritaku…’Mandilah kamu sebelum kamu di mandikan’…..(macam aku..)hahaha.

* Cathether – getah tiub saluran yang di masukan ke pundi kencing melalui lubang yang di buat di bawah pusat/perut untuk mengalirkan air kencing terus ke beg kencing.

3 Responses to “"Mandilah Kamu Sebelum Kamu Di mandikan"”

  1. jeff Says:

    salam KS

    selamat hari bapa. semoga terus berbahagia di samping anaknda dan isteri

  2. fireflies Says:

    dok sedih sedih tu sempat buat lawak lagi tu :P

  3. ayukarmila Says:

    Assalamualaikum Pakcik, saya minta maaf kerana mencelah di sini, mungkin saya sebaya dengan anak pakcik atau mungkin tidak, namun jauh di sudut hati saya, saya berharap pakcik tabah yer dengan segala dugaan Allah, hidup kita ini ibarat roda, saya doakan pakcik sentiasa bahagia dan diberi kesihatan insyaAllah. Tabah dan berdoa selalu pada Allah. Moga diberi keberkatan hidup dunia dan akhirat

Leave a Reply