Catatanku….Baitullah Al haram

June 28, 2007
Aku bersama anak-anakku terus menuju ke Masjidil Haram untuk menggerjakan umrah. Semakin dekat dengan Masjidil Haram semakin tidak sabar rasanya untuk melihat Baitullah.

Anakku terus membawaku mengikut laluan kerusi roda ke tingkat satu. Keadaan di tingkat ini agak lenggang sedikit. Kelihatan beberapa orang pekerja sedang menggilatkan pagar-pagar di sekitar kawasan situ. Sesekali mereka toleh dan senyum kepada kami.

Setelah selesai sholat tahayatul masjid, aku meminta anakku menolak kerusi rodaku menghampiri tepi pagar untuk melihat Baitullah. Pertama kali mataku melihat Kaabah terasa bagaikan mimpi. Kaabah yang dahulunya sering kulihat di kaca tv kini betul-betul berada di hadapanku. Aku bersyukur kerana akhirnya tertunai juga hajatku untuk sampai dan bersholat di rumah suci Allah ini.

Dari tepi pagar kelihatan ramai jemaah yang sedang bertawaf menggelilingi Kaabah. Ada di kalangan mereka yang berkerusi roda turut sama bertawaf di bawah. Bagi mereka yang berkerusi roda memang di sediakan laluan untuk bertawaf di tingkat satu. Aku yang pada mulanya bercadang untuk mengerjakan tawaf di sini menukar fikiran untuk turut sama bertawaf di bawah.

Kami turun ke bawah dengan menggunakan lif dan seterusnya mengikut laluan kerusi roda untuk sampai ke laman Kaabah. Sekali lagi terasa bagaikan bermimpi bila melihat Kaabah betul-betul berada beberapa meter saja di depan mata. Mataku leka dan terpegun melihat keindahan Kaabah. Aku bersyukur dan berasa bertuah terpilih menjadi tetamuNya.

Setelah pasti tempat permulaannya tawaf, kami pun berniat dan memulakan tawaf. Pusingan demi pusingan kami lakukan tanpa rasa penat. Terasa nikmatnya dapat beribadah menggelilingi Kaabah bersama ribuan jemaah berbagai bangsa.

Terdapat ramai kumpulan-kumpulan jemaah dari negara lain yang bertawaf di pimpin oleh ketua masing-masing. Dalam keadaan berhimpit-himpit beberapa kali tayar kerusi rodaku menggelek jari kaki jemaah yang bersebelahanku. Berkerut wajah mereka menahan kesakitan. Aku cuma mengangkat tangan tanda memohon maaf.

Setelah selesai bertawaf kami mencari tempat untuk bersholat sunat tawaf sebelum mengerjakan saei. Kami memilih untuk bersholat di kawasan yang berdepan dengan pintu Kaabah dan Al Multazam. Semasa berdoa di depan Kaabah air mataku jatuh bercucuran tanpa dapat di tahan. Perasaanku rasa sayu dan terharu . Terharu kerana berpeluang bersholat betul-betul di hadapan Kaabah. Sayu hatiku kerana datangku ke sini dalam keadaan sifat yang telah berbeza dari sifat asal (lumpuh).

Setelah selesai kami terus ke tempat saei yang terletak di dalam kawasan Masjidil Haram. Bermula dari Bukit Safa kami berniat dan menuju ke Bukit Marwah. Bagi yang berkerusi roda di sediakan laluan khas di sini. Bersemangat rasa di hati dapat beribadah bersama-sama umat Islam berbagai bangsa.

Di awal pusingan anak-anakku agak laju menolak dan menarik kerusi rodaku. Di pusingan-pusingan akhir mereka nampak keletihan. Anakku Indah bersungguh-sungguh menarik kerusi rodaku ketika mendaki curam untuk naik di kedua-dua bukit. Aku amat terharu dengan kesungguhan mereka walaupun agak kepenatan. Setelah selesai tujuh pusingan kami pun bergunting (bertahlul) sebagai menyempurnakan umrah kami.

Alhamdullillah, akhirnya ibadah umrah kami selesai pada malam itu. Sepanjang mengerjakan tawaf dan saei kami tidak bertemu dengan rombongan kami. Mungkin kerana terlalu ramai jemaah yang mengerjakan umrah pada waktu itu. Aku sampai di hotel penginapan lebih kurang jam 2.00 pagi. Isteriku risau menanti kepulangan kami, risau takut kami tersesat.

Aku berada di Mekkah selama lapan hari. Di hari yang ke empat barulah isteriku berpeluang mengerjakan umrah di temani oleh anakku Indah. Kali ini Indah pula jadi mutawif (kononnya) membawa ibunya mengerjakan umrah.

Semasa di Madinah bolih di katakan setiap hari aku berpeluang ke masjid berjemaah. Berlainan pula di Mekkah, masaku banyak terperap di bilik kerana masalah pergerakkanku. Bolih di katakan setiap hari anak-anakku keluar mengerjakan umrah jadi bila tiba giliran untuk mengangkatku ke masjid mereka keletihan. Untuk tidak menyusahkan mereka aku cuma bersholat di bilik saja.

Keadaan bilik yang agak sempit dengan hawa dingin yang terlalu sejuk dan tidak boleh di laras suhunya membuatkan badanku sering sakit-sakit. Hampir setiap hari aku terpaksa menelan pil untuk menahan kesakitan.

Selama berada di sana aku berpeluang untuk bersholat Jumaat. Inilah kali pertama aku berpeluang bersholat Jumaat sejak aku sakit. Seronoknya tidak terkata, maklumlah sudah lama tidak merasai suasana berjemaah begini.

Jika dahulu di Masjid Negara terlentuk-lentuk kepalaku mengantuk menunggu imam menghabiskan kutbah Jumaatnya. Di sini berbeza pula, telinga khusyuk mendengar kutbah walaupun tidak faham dan mata pula leka tertumpu memandang Kaabah.

Satu suasana yang sering boleh di lihat di sini ialah gelagat jemaah yang berlari–lari ke arah Kaabah untuk mendakap dan mencium Kaabah sebaik saja imam habis memberi salam. Semasa mengerjakan tawaf sunat (di luar ihram), aku juga turut berpeluang menghampiri Kaabah dan menyentuhnya. Aku cuba mengangkat tanganku untuk meletakkan tapak tangan ke Kaabah tetapi hanya dua jariku saja yang mampu mencecah Kaabah.

Di hari ketujuh aku berpeluang sekali lagi mengerjakan umrah. Kali ini aku sekeluarga di bawa oleh abang iparku dan birasku. Selepas sholat Asar aku mengenakan pakaian ihram dan pergi ke Tana’im yang jaraknya 5 km dari Mekkah untuk berniat umrah. Selepas berniat kami terus kembali ke Masjidil Haram untuk bertawaf, bersaei dan bertahlul. Ibadah umrah kami selesai sebelum masuknya waktu Isyak.

Hari terakhir di Mekkah, sebelum bertolak pulang meninggalkan Mekkah aku sekeluarga mengerjakan tawaf widaq (tawaf selamat tinggal) selepas sholat zohor. Ketika itu matahari betul-betul berada di atas kepala. Teriknya matahari betul-betul mengujiku hari itu. Aku hampir-hampir tidak dapat menahan kepanasannya.

“Sabar KS cuma satu pusingan saja lagi,”kata birasku cuba untuk menenangkan aku yang sedang gelisah kepanasan.

“Di Padang Masyhar nanti lebih panas lagi pada nii,”sambungnya lagi.

Sebaik selesai sholat sunat tawaf aku meminta anakku menyiramkan air zam-zam keseluruh tubuhku. Pakaianku basah kuyup bermandikan air zam-zam. Barulah reda rasa panas di badanku.

“Ayong tak rasa panas ke masa tawaf tadi?”tanyaku pada anak sulungku.

“Biasa saja, Ayong tak rasa panas pun”.

“Oh patutlah ayah rasa panas sangat, ayah nii banyak dosa,” jawabku sambil tersenyum.

Jam 1.30 petang aku bersiap-siap untuk meninggalkan Mekkah. Oleh kerana pihak agensi hanya menyediakan bas, maka terpaksalah aku menyewa teksi dengan bayaran 130 riyal (RM 130) untuk ke lapangan terbang Jeddah. Aku bertiga beranak menaiki teksi sementara dua lagi anakku menaiki bas.

Semasa teksi bergerak perlahan melintasi Masjidil Haram, aku menoleh melihat Masjidil Haram buat terakhir kali hingga hilang dari pandanganku. Hati terasa amat sayu meninggalkan Baitullah rumah suci Allah. Bilakah aku berpeluang ke sini lagi?.

Tiada banyak yang dapat aku ceritakan tentang Mekkah. Aku tidak berpeluang mengikuti ziarah yang di adakan di tempat-tempat yang bersejarah di sini. Kesian isteriku kerana turut tidak berpeluang berziarah kerana menjagaku. Aku cuma berziarah melalui gambar-gambar yang di rakamkan dari kemera anakku saja…cukuplah tuu.

InsyaAllah jika ada rezeki dan kesihatanku mengizinkan pasti kudatang lagi ke sini….


~ Pika Dalam Kenangan ~

June 27, 2007

Pada subuh 26 Jun’2007 jam 3.55 pagi, Yusshafiqah atau Pika nama panggilannya menghembuskan nafas terakhir di dalam dakapan ibunya setelah sebulan menderita akibat penyakit leukemia.

Tempoh lapan bulan tinggal bersamaku meninggalkan berbagai kenangan yang tidak mungkin dapat kulupakan. Masih terbayang wajahnya ketika aku memintanya memasangkan laptopku. Setiap hari kedengaran suara nyaringnya memberi salam ketika pulang dari sekolah. Kini suara-suara manjanya tidak lagi kedengaran …aku terasa kehilangan dan amat merinduinya.

“Mama nak pergi umrah, Pika nak kirim apa?, tanya isteriku beberapa hari sebelum ibunya mengambilnya dariku.

“Pika nak air zam-zam,” jawabnya sambil tersenyum-senyum.

Pada petang 24 Jun’ 2007, aku pergi menziarahnya di hospital. Ketika itu Pika tidak selincah dulu lagi, dia banyak berdiam diri. Ibunya memberikannya minum air zam-zam yang kubawa. Isteriku pula memakainya gelang mekkah di tangannya. Pika melihat jubah arab yang isteriku belikan untuknya semasa di Mekkah dahulu. Menurut ibunya, Pika bercadang untuk memakai jubah itu pada hari Selasa tapi sayang niatnya tidak kesampaian.

“Pika nak jadi polis bila besar nanti, nak tolong mama (ibunya).”

“Nak jadi polis kena belajar pandai-pandai,”nasihat isteriku padanya beberapa bulan sebelum perginya.

Di dunia ini hasratnya untuk membantu ibunya tidak menjadi kenyataan. InsyaAllah semoga Pika dapat membantu meringgankan beban ibunya di akhirat nanti.

“Ya Allah sakitnya Pika, ya Allah tolonglah Pika,” kata-kata yang keluar dari mulutnya bila setiap kali tubuhnya di cucuk dengan jarum suntikkan.

Sebulan tubuh kecil ini terpaksa menanggung derita kesakitan kesan dari proses kimoterapi dan suntikan-suntikan di tubuhnya.

“Bila Pika mati kebumikan Pika di sebelah kubur abah,”katanya beberapa hari sebelum pergi buat selamanya.

Alhamdullilah, walaupun tidak bersebelahan tetapi jasadnya di semadikan berdekatan dengan pusara arwah abahnya. Semoga rohnya di cucuri rahmat…Amin!!

Kepada saudara Adeijin, Fiqir, Hayat, Sya, Awwa, A_liana, baiksss dan Epelijau, terima kasih kerana meringankan jari menitipkan ucapan takziah. Memang sukar mencari teman seperti kalian di kala duka.


AL FATIHAH BUAT PIKA

June 25, 2007
Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali. Sebagai tanda kasih kepada anak kecl ini sedekahkan AL FATIHAH buat rohnya. Semoga rohnya di rahmati Allah.
Jam 4.00 pagi.

~ Pika….Semoga Sembuh ~

June 25, 2007
Semalam aku ke Institute Pediatrik Hospital Kuala Lumpur melawat anak saudaraku juga anak angkatku Syafiqah (Pika). Telah tiga minggu Pika di rawat di sini kerana menghidap Leukemia/kanser darah.

Pika anak bongsu berusia 10 tahun dari empat adik beradik dan telah kematian bapa ketika usianya setahun. Sejak Ogos 2006 aku mengambil dari ibunya dan menjaganya. Semasa di bawah penjagaanku Pika tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda berpenyakit. Pika seorang anak yang aktif, suka bersolek, petah mulutnya dan suka ber posing di depan cermin.

Seminggu sebelum aku ke Mekkah ibunya telah mengambil semula Pika untuk tinggal bersamanya. Sekembalinya dari Mekkah aku mendapat perkhabaran bahawa Pika sedang sakit dan di rawat di Hospital Ipoh. Semasa di Mekkah isteriku sempat membelikannya sepasang baju jubah dan gelang Mekkah.

Semasa menziarahinya semalam Pika di tempatkan di wad khas (PHDW) Pediatrik. Hanya saudara mara terdekat saja di benarkan melawatnya kerana pesakit leukemia mudah di jangkiti penyakit.

Aku agak fobia bila melihat alat-alat/mesin perubatan yang sarat terletak di sebelah katilnya. Bunyi alat-alat tersebut mengingatkan aku kembali ketika di rawat di ICU dahulu.

Menurut ibunya, Pika telah menjalani tiga pembedahan untuk mengambil air sum-sum tulang belakang. Pika sering kali mengadu sakit di bahagian kepala dan menurut doktor terdapat jangkitan di bahagian otaknya.

Semalam semasa menziarahinya wajah Pika tidak kelihatan seceria dulu. Di kepalanya di letakkan tuala basah untuk menghilangkan rasa sakit. Aku menyuruh ibunya menyapukan air zam-zam di kepalanya dan memberinya minum. Mudah-mudahan dengan izin Allah sakitnya berkurangan.

Sehingga kini Pika masih tidak di beritahu tentang penyakitnya. Menurut ibunya, Pika agak risau bila melihat wayar-wayar dan alat-alat perubatan yang sarat di tepi katilnya dan di tubuhnya.

“Bila Pika mati kebumikan Pika di sebelah kubur abah,”kata-kata yang keluar dari mulutnya.

Semoga Allah meringankan penderitaan yang di tanggung oleh anak yang bernama Yussyafiqah…Amin!!

* Sebaik saja catatan ini habis kutaip, aku di maklumkan oleh ibunya bahawa Pika baru di bawa ke ICU – 6.35 pm


~ Namunku Punya Hati ~

June 23, 2007
Sehari dua ini semangatku agak goyah sedikit. Jariku agak berat untuk meneruskan catatan perjalanananku yang agak lama terhenti. Kepada teman-teman yang meninggalkan jejak di mesej box, maafkan aku kerana belum berkesempatan untuk me respon. Kepada mereka yang meninggalkan komen di entri-entriku, terima kasih kuucapkan. Setiap komen kalian pasti kubaca.

Untuk mengisi waktu bosanku, hari ini aku belajar membuat youtube. Terima kasih Indah kerana meminjamkan jarinya.

Hasilnya terimalah ‘Namunku Punya Hati’. Sila Off kan lagu blogku.


~ Jom Layan Seroja ~

June 21, 2007
Aku sedang menyiapkan bahagian akhir catatan perjalananku di Mekkah. Mungkin esok atau lusa siaplah agaknya. Agak lewat juga catatanku kerana ‘mood’ untuk berceritaku turun naik. Adakalanya aku hendak menaip mood pula tiada dan ada ketika pula mood ada jariku pula tidak larat.

Untuk mengisi ruang yang kosong di blogku ini, apa kata kita kongsi menonton 3 video yang kujumpa di Youtube. Apa yang istimewanya video ini? Tiada apa yang istimewa pada video ini tetapi aku sekadar ingin berkongsi senyum dan gembira.

Video pertama memperdengarkan lagu nyanyian peminat Siti Nurhaliza yang di tujukan kepada Siti dan Dato’ K. Aku tersenyum-senyum mendengar liriknya. Melodinya agak baik juga, aku terhibur.

Video kedua lagu ‘Seroja’ gandingan penyanyi Mawi dan Siti. Aku memang meminati lagu ini dan kedua-dua penyanyinya.

Video ketiga lagu ‘Seroja’ juga di nyanyikan oleh Ustaz Akhil Hayy. Aku pasti kalian tentu mengenali ustaz ini. Mana hendak cari ustaz yang boleh menyanyi! Ustaz Akhil adalah bekas penyanyi kumpulan rock era 80an. Suara Ustaz menyanyi pun enak dan mengaji pun sedap.

Sila ‘Off’ kan lagu di blogku dahulu untuk mendengarnya. Jika videonya tersekat-sekat mungkin capaian internet anda kurang elok atau anda perlu keluar dari windows yang sedang anda layari.

Kepada mereka yang melayari internet di pejabat terpaksalah ‘Off’ kan suaranya. Berhati-hati ya jangan sampai nanti boss berdiri depan PC sudahlah, silap-silap dapat memo pula…hehehe.

Peminat Siti

Mawi & Siti

Ustaz Akhil Hayy


20 Jun’ 2002…Lima Tahun Usiamu

June 20, 2007
Setiap kali tibanya tarikh 20 Jun pasti tidak akan aku lupakan kehadirannya di dalam kelendar hidupku. Tarikh keramat yang telah mencatat sejarah hitam dalam diari hidupku. Tarikh yang sama sekali telah mengubah corak dan warna kehidupanku.

20 Jun 2002 tarikh yang meragut sebahagian daripada kenikmatan yang di pinjamkan kepadaku olehNya.

Tahun ini pada tarikh 20 Jun genaplah LIMA tahun aku bergelar OKU. Satu gelaran yang tidak pernah kuimpikan dalam hidupku. Satu penganugerahan gelaran yang terlalu berat buatku tersemat kekal di jasadku.

Ikutilah rentetan hari-hari terakhirku lima tahun dahulu sebelum aku bergelar OKU. Hari-hari terakhir yang tidak mungkin luput di dalam lipatan memoriku.

14 Jun 2002 – Jumaat

Aku mengambil cuti separuh hari kerana isteriku demam. Se awal pagi aku telah bangun mencuci dan menggilatkan keretaku. Setelah selesai aku bersiap-siap untuk ke pejabat. Isteriku masih terbaring di kerusi kerana demam.
Aku tidak berpakaian seperti biasa ke pejabat hari itu. Berseluar jeans dan berkemeja denim biru sedondon dengan warna jeansku. Inilah kali pertama aku memakai jeans ke pejabat, buang tabiat agaknya aku hari itu.
(di pejabat tempatku bekerja di benarkan memakai jeans pada hari Jumaat saja).

Hari itu aku ke pejabat dengan menunggang motor virago kesayanganku. Aku menunggang se laju dan sepuasnya di lebuhraya. Rupanya itulah kali terakhir aku bersamanya. Kini viragoku turut kaku dan lesu sepertiku.

15 Jun 2002 – Sabtu.

Pagi-pagi lagi aku ke pasar mencari se ekor ayam dan daun sup. Aku ingin memasak sup ayam untuk membuka selera isteriku yang yang beberapa hari tidak berselera makan kerana demam. Sebelum ini pernah juga aku memasak sup ‘ikan haruan’ untuk isteriku yang ketika itu baru saja melahirkan anakku Indah.

Di sebelah petangnya aku bersama anakku Amir merayau-rayau di sekeliling taman mencari ayam seramanya yang hilang. Kini kesemua ayam seramanya telah mati tetapi aku masih lagi di sini, masih panjang umurku…alhamdullillah.

16 Jun 2002 – Ahad.

Aku tidak ingat peristiwa hari itu.

17 Jun 2002 -Isnin.

Hari ini aku ke pejabat seperti biasa. Sebelum pulang aku sempat membaca fail lapuran yang di sediakan oleh stafku. Aku kurang berpuashati cara lapuran yang ditulisnya. Dalam hatiku berkata “Esok sajalah aku betulkan lapuran ini”. Jam ketika itu pukul 6.00 petang, aku berkemas-kemas untuk pulang. Rupanya itulah hari terakhir aku bekerja di situ.

Di sebelah malamnya aku membawa isteriku ke klinik. Isteriku di syaki di jangkiti demam denggi. Aku menghantarnya ke hospital Tawakal untuk mendapat rawatan lanjutan.

Aku pulang dari Tawakal lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Aku memandu di sekitar Jalan di Chow Kit. Pada mulanya aku terasa ingin singgah merayau-rayau di situ tetapi aku membatalkan hasrat kerana badan terasa kurang sihat. Sehingga hari ini aku tidak berpeluang ke Chow Kit lagi.

18 Jun 2002 – Selasa.

Di sebelah petangnya aku membawa anakku Syafeeni melawat ibunya di hospital Tawakal. Anakku mengajakku singgah makan ‘Mee Bandung Muar’ di sebuah restoran yang terletak berdekatan dengan hospital Tawakal. Aku tidak berselera untuk makan sekadar menghirup fresh orange saja.

Semasa pulang aku menyuruh anakku memandu kerana badankku terasa kurang sihat. Memang itu yang di nanti-nantikan oleh anakku (ketika itu umurnya belum pun 16 tahun). Aku sempat menegur caranya memandu kerana dia hampir-hampir mengesel tembok ketika membayar tol.

19 Jun 2002 – Rabu.

Aku tidak melawat isteriku di hospital hari itu kerana aku turut demam. Sepanjang hari aku hanya tidur sendirian di rumah. Anak-anakku semua berada di rumah mertuaku.

20 Jun 2002 – Khamis.

Se awal jam 4.00 pagi aku sudah bangun mengemas bilik tidurku. Jam 6.30 pagi aku memandu ke rumah mertuaku dalam keadaan terhuyung hayang. Niat untuk menghantar anakku ke sekolah terpaksa kubatalkan.

Jam 10.00 pagi anakku menghantar aku ke klinik. Aku membuat pemeriksaan darah dan mengambil suntikan menahan sakit. Aku di maklumkan oleh pihak klinik bahawa tiada jangkitan denggi pada darahku.

Jam 4.00 petang anakku memandu membawaku ke hospital Tawakal. Sepanjang jalan aku hanya tidur di sebelahnya saja. Kali ini segalanya kuserahkan padanya. Aku hanya bertawakal saja.

Aku di periksa dan di masukkan ke wad di tingkat dua sementara isteriku berada di wad tingkat satu. Tiga hari kemudian keadaanku semakin kritikal. Aku gagal bernafas sendiri dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen.

Sementara isteriku pergi berurusan untuk keluar dari wad aku pula di tolak masuk ke ICU. Dua minggu aku koma tidak sedarkan diri. Aku mulai sedar selepas menjalani satu pembedahan mengeluarkan darah beku di tengkukku. Hingga hari ini aku tidak pasti dari mana datangnya darah beku tersebut.

Ketika itu segala-galanya sudah berubah. Aku bukan AKU dahulu lagi, seluruh anggota tubuhku kaku melainkan kepalaku saja yang boleh di gerakkan. Aku lumpuh sepanjang hayatku……….

Segala detik-detik ini ada tercatat di dalam kisah-kisah hidupku terdahulu yang kutulis di blogku ini.


منديله كامو سبلوم كامو دمنديكن

June 19, 2007

Versi jawi dari ceritaku “Mandilah kamu sebelum kamu di mandikan”

مالم تادي هابيس بادن دان چادركو باسه تركنا كنچيڠكو سنديري ڬارا-ڬارا چتهيتهيركو ترسومبت. انته كناڤ سجق اخير-اخير اين سريڠكالي چتهيتهيركو بوات ڤراڠاي. الحمدلليله سماس د مكه دولو چتهيتهيركو تياد برمسئله، جك ترسومبت ڤايه جوڬ اونتوق اكو برعبادت.

بيلا ساتو بادن سوده تركنا كنچيڠ ترڤقساله اكو د منديكن. سرونوك اكو بيلا د منديكن اوليه استريكو. اورڠ سڤرتيكو بوكن بوليه داڤت مندي هاري-هاري. سميڠڬو سكالي سهاج، جك برنصيب باءيق داڤتله دوا كالي سميڠڬو. بوكن استريكو تيدق ماهو ممنديقن اكو ستياڤ هاري تتاڤي مسئله اونتوق مڠڠكتكو.

همڤير سجام اكو د منديكن اوليه استريكو. سماس صيحت دهولو منديكو چوما ليما مينيت سهاج…هيهيهي. مالم اين تيدق سڤرتي كبياساان، تياد لاڬو يڠ كودينداڠكن مالم اين. د لاڠيت ڤون بولن تيدق كليهاتن، معلومله تڠه بولن….هيهيهي.

سلڤس مندي سڤرتي بياسا استريكو ممبوات ‘دريسسيڠ’ ڤد لوكاكو. مموتوڠ كوكو د جاريكو دان مڽڤو كريم لوسيين ڤد بادن دان كاكيكو اڬر كوليتكو تيدق كليهاتن كريڠ. سجق اكو ساكيت لوسيين منجادي ساله ساتو كڤرلوانكو د بادنكو، ماچم بايي ڤولاق. سماس صيحت دهولو تيدق ڤرنه كوسينتوه لوسيين-لوسيين اين.

سماس استريكو مڽڤوكن لوسيين د كاكيكو اكو سمڤت مڠيڠتكن استريكو.

“كالاو ابڠ ماتي ايسوق، جك ناق امبيل اوكورن قبور، كنا امبيل دري كڤالا هيڠڬ ك هوجوڠ جاري كاكي.“

“جاڠن اوكور دري كڤالا ك توميت كاكي، ننتي ناق ماسوق ابڠ ك لينڬ لحد تاء موات ڤولا،“كاتكو مڠيڠتكن استريكو.

“كناڤ ڤولا هوجوڠ جاري كاكي، تيدق ڤد توميت؟“تاڽ استريكو.

“چوبا تيڠوق تاڤق كاكي ابڠ، ده جاتوه! بتيس دان تاڤق كاكي ده تاء بنتوق ‘ل’لاڬي،“اكو مڽوروح استريكو مڠرق-ڬرقكن تاڤق كاكيكو يڠ سوده مولاي جاتوه.

“سوده لاما تيدق د ڬرقن تاڤق كاكي ني سبب ايت دي جاتوه،“كات استريكو سمبيل مڽڤو لوسيين ك كاكيكو.

اكو تريڠت ماس ايكوت مڠكبوميكن جيرنكو ساتو كتيك دهولو، اڤابيلا جنازه د تورونكن ك لينڬ لحد جنازه تيدق داڤت د ماسوقكن كران ڤنجڠ اوكورن لينڬ لحد تيدق سام دڠن ڤنجڠ جنازه. ڤڠكبومين ترليوات كران لينڬ لحد ترڤقسا د ڬلي سديكيت. اكو تيدق ماهو ڤركارا سڤرتي اين برلاكو ڤد ديريكو بيلا اكو ماتي ننتي.

لاما جوڬ اكو برفيكير اڤاكه تاجوق ناق كوبيريكن ڤد چريتاكو اين. راسڽ تاجوق يڠ كوبيريكن اين برسسواين دڠن چريتاكو…ءمنديله كامو سبلوم كامو د منديكنء…..(ماچم اكو..)هاهها.

* چتهيتهير – ڬيته تيوب سالورن يڠ د ماسوقان ك ڤوند كنچيڠ ملالوءي لوبڠ يڠ د بوات د باوه ڤوست/ڤروت اونتوق مڠاليركن اير كنچيڠ تروس ك بيڬ كنچيڠ.


"Mandilah Kamu Sebelum Kamu Di mandikan"

June 16, 2007
Malam tadi habis badan dan cadarku basah terkena kencingku sendiri gara-gara cathetherku tersumbat. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini seringkali cathetherku buat perangai. Alhamdullilah semasa di Mekah dulu cathetherku tiada bermasalah, jika tersumbat payah juga untuk aku beribadat.

Bila satu badan sudah terkena kencing terpaksalah aku di mandikan. Seronok aku bila di mandikan oleh isteriku. Orang sepertiku bukan boleh dapat mandi hari-hari. Seminggu sekali sahaja, jika bernasib baik dapatlah dua kali seminggu. Bukan isteriku tidak mahu memandikan aku setiap hari tetapi masalah untuk mengangkatku.

Hampir sejam aku di mandikan oleh isteriku. Semasa sihat dahulu mandiku cuma lima minit sahaja…hehehe. Malam ini tidak seperti kebiasaan, tiada lagu yang kudendangkan malam ini. Di langit pun bulan tidak kelihatan, maklumlah tengah bulan….hehehe.

Selepas mandi seperti biasa isteriku membuat ‘dressing’ pada lukaku. Memotong kuku di jariku dan menyapu krim losyen pada badan dan kakiku agar kulitku tidak kelihatan kering. Sejak aku sakit losyen menjadi salah satu keperluanku di badanku, macam bayi pulak. Semasa sihat dahulu tidak pernah kusentuh losyen-losyen ini.

Semasa isteriku menyapukan losyen di kakiku aku sempat mengingatkan isteriku.

“Kalau abang mati esok, jika nak ambil ukuran kubur, kena ambil dari kepala hingga ke hujung jari kaki.”

“Jangan ukur dari kepala ke tumit kaki, nanti nak masuk abang ke liang lahad tak muat pula,”kataku mengingatkan isteriku.

“Kenapa pula hujung jari kaki, tidak pada tumit?”tanya isteriku.

“Cuba tengok tapak kaki abang, dah jatuh! betis dan tapak kaki dah tak bentuk ‘L’lagi,”aku menyuruh isteriku mengerak-gerakkan tapak kakiku yang sudah mulai jatuh.

“Sudah lama tidak di gerakan tapak kaki ni sebab itu dia jatuh,”kata isteriku sambil menyapu losyen ke kakiku.

Aku teringat masa ikut mengkebumikan jiranku satu ketika dahulu, apabila jenazah di turunkan ke liang lahad jenazah tidak dapat di masukkan kerana panjang ukuran liang lahad tidak sama dengan panjang jenazah. Pengkebumian terlewat kerana liang lahad terpaksa di gali sedikit. Aku tidak mahu perkara seperti ini berlaku pada diriku bila aku mati nanti.

Lama juga aku berfikir apakah tajuk nak kuberikan pada ceritaku ini. Rasanya tajuk yang kuberikan ini bersesuaian dengan ceritaku…’Mandilah kamu sebelum kamu di mandikan’…..(macam aku..)hahaha.

* Cathether – getah tiub saluran yang di masukan ke pundi kencing melalui lubang yang di buat di bawah pusat/perut untuk mengalirkan air kencing terus ke beg kencing.


Catatan Perjalananku…Masjidil Haram

June 14, 2007
Aku tiba di depan hotel penginapan ketika azan Asar sedang berkumandang. Masjidil Haram yang indah terletak hanya beberapa meter sahaja dari hotel penginapan. Tidak sabar rasa hatiku untuk bersholat dan melihat keindahan Baitullah.

Di kiri kanan jalan aku lihat orang bergegas-gegas menuju ke masjid. Di bahu-bahu jalan di penuhi dengan kereta-kereta yang pemandunya juga berhenti untuk menunaikan sholat. Aku di tolak di celah-celah kereta mencari laluan untuk menuju ke hotel.

Setibanya di depan hotel aku agak terperanjat melihat bertingkat-tingkat anak tangga untuk sampai ke lobi hotel. Tiada laluan khas untuk orang berkerusi roda. Sebentar kemudian datang tiga orang pekerja hotel membantu mengangkat kerusi rodaku. Mereka kelihatan tercungap-cungap mengangkatku ke lobi. Dari lobi sekali lagi aku terpaksa di angkat untuk sampai ke pintu lif pula. Bila pintu lif terbuka mereka cuba menolak kerusi rodaku masuk tetapi hanya separuh saja kerusi rodaku yang muat.

Aku beristighfar di dalam hati menahan kesabaran. Sepatutnya perkara ini dapat di elakkan jika pihak agensi prihatin dan bertanggung jawab terhadap pelanggannya. Aku meminta izin untuk berjumpa dengan muasasah yang menguruskan tempat kami. Aku di fahamkan bahawa pegawai yang bertanggung jawab keluar membawa jemaah berziarah.

Sementara menunggu pegawai tersebut pulang aku di letakkan di ruang menunggu hotel tersebut. Beberapa jemaah dari kumpulan lain yang telah beberapa hari tinggal di situ datang berbual dan bertanya masalahku.. Dari perbualan dengan mereka ternyata mereka juga kurang senang dengan perkhidmataan yang di sediakan oleh agensi tersebut.

Sedang aku berbual-bual datang seorang wakil muasasah melihat dan bertanyakan masalahku.

“Ustaz, saya datang ke sini untuk beribadat, saya hendak ke masjid bila-bila waktu, subuh, asar, maghrib.”

“Kalau sudah bertangga begini, bagaimana saya nak ke masjid?”

“Adakah pihak muasasah sanggup tunggu mengangkat saya di setiap waktu?” kataku kepada lelaki yang kupanggil ustaz berasal dari Indonesia.

“Saya tidak di maklumkan oleh agensi yang ada orang berkerusi roda dalam rombongan ini,”jelas ustaz tersebut kepadaku.

Setelah lama mendengar tazkirahku ustaz tersebut meminta diri untuk berbincang dengan pegawainya untuk mencari tempat yang sesuai buatku.

Sementara menunggu, datang sepasang jemaah yang berasal dari Melaka bertanyakan masalahku.

“Cuba encik tengok di dinding, penuh dengan pelekat yang menyuruh kita SABAR,”kata suami pasangan itu kepadaku.

“Di dalam soal beribadah kita boleh bersabar tetapi dalam soal hak dan kebajikan kita, mana boleh sabar!”lelaki tersebut mula meluahkan rasa kesalnya kepadaku.

“Pihak agensi se olah-olah menghukum kita di sini, jika kita tidak SABAR maka sia-sialah ibadat kita di sini,”sambungnya lagi. Aku cuma mendengar luahan lelaki tersebut sambil tersenyum.

“Dapur belakang rumah saya pun lebih cantik dari dapur di sini,”sampuk salah seorang rakannya. Aku memandang ke arah bilik tempat yang di maksudkan dapur. Tempat membuat minuman rupanya.

“Saya menyesal menggunakan khidmat agensi ini,”kata lelaki tersebut sebelum beredar meninggalkan aku.

Aku memandang di sekelilingku. Memang banyak perkataan SABAR tertampal di dinding. Teringat aku semasa menghadiri kursus umrah di Kuala Lumpur dahulu, wakil agensi asyik menekankan perkataan SABAR di dalam ceramahnya. Mungkin sebelum ini telah ramai pelanggannya yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu perkhidmatannya.

Sebentar kemudian ustaz tadi muncul semula. Dia mengesyorkan beberapa tempat untukku. Aku bersetuju di tempatkan di mana saja asalkan tiada bertangga. Aku di bawa di sebuah hotel yang jaraknya lebih kurang 30 meter dari hotel asal. Maka terpisahlah aku dengan rombonganku.

Di sini aku di tempatkan di tingkat enam. Biliknya agak sempit yang menempatkan lima buah katil. Lifnya agak kecil juga di mana aku perlu menanggalkan beberapa bahagian di kerusi rodaku setiap kali menggunakannya.

Oleh kerana keletihan dalam perjalanan tadi, aku bersholat di dalam bilik sahaja. Sementara itu anakku ke masjid bersholat Maghrib sambil meninjau-ninjau laluan untuk kerusi roda di sekitar Masjidil Haram.

Di sebelah malam kami bercadang untuk melakukan umrah (tawaf/saei) bersama dengan rombongan bas yang di jangka tiba pada jam 9.00 malam. Dua orang lagi anakku turut bersama dengan rombongan ini.

Lebih kurang jam 10.00 malam kedua-dua orang anakku tiba di hotel. Setelah berehat seketika kami empat beranak pun bersiap-siap untuk mengerjakan umrah. Jam ketika itu menunjukkan pukul 11.00 malam. Isteriku tidak turut bersama kami mengerjakan umrah kerana bercuti. Biasalah orang perempuan..

Aku pergi ke hotel utama untuk mengerjakan umrah bersama dengan rombongan yang akan di pimpin oleh seorang mutawif. Sesampai di sana aku di maklumkan bahawa mutawif telah pun pergi bersama rombongannya. Aku bertanya samada pihak muasasah menyediakan mutawif yang lain yang boleh memimpin kami mengerjakan umrah. Jawapannya tiada, jadi terpaksalah aku mengerjakan umrah dengan anak-anakku berbekalkan buku yang aku baca.

Aku terpaku apabila melihat keindahan Baitullah di hadapanku. Mimpikah aku?. Nanti ceritaku seterusnya…….


* Kemudahan untuk warga OKU di Madinah dan di Mekah adalah sangat baik dan mudah….Alhamdullilah. Banyak laluan untuk kerusi roda di sana. Apa yang menyedihkan ialah sikap setengah pengendali umrah di negara kita yang tidak peka kepada keperluan golongan minoriti sepertiku. Keuntungan menjadi agenda utama mereka sedangkan kebajikan golongan OKU di pandang remeh.

Azan Subuh di Masjidil Haram…syahdunya, gambar dari youtube.