~ Cinta Madinah….Lambaian Kaabah ~

May 18, 2007
Blog ini akan berehat seketika dan akan ber nostalgia kembali pada 2 Jun 2007….InsyaAllah.

InsyaAllah jika tidak ada apa halangan hari Ahad ini 20 Mei 2007 aku sekeluarga akan berangkat ke Madinah dan seterusnya ke tanah suci Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah.

Alhamdullillah hajatku untuk kesana hampir tercapai walaupun pada mulanya agak kabur kerana masalah kesihatan dan fizikalku. Doakan kesihatanku di sana dan moga-moga perjalananku ke sana di permudahkan.

Aku memohon MAAF andai ada tulisan dan cerita-ceritaku mahu pun gurauanku di mesej box yang menguris hati kalian.


InsyaAllah aku akan kembali pada 2 Jun 2007 dan akan kembali semula bercerita di sini.

~ Buat Rakan Di Malaysian-Re ~

May 17, 2007
Sila ‘OFF’ kan dahlu lagu di blogku untuk mendengar ucapan dan lagu raya.

Sebelum kupergi sempat aku download dua video klip (CD) yang diberikan kepadaku oleh bekas rakan-rakan sepejabatku sempena menyambut Aidil Fitri yang lalu.

Sebagai menghargai ucapan mereka kuabadikan video itu di sini agar aku dapat menatap wajah-wajah mereka setiap hari. Walaupun hampir lima tahun aku meninggalkan Malaysian-Re

tetapi ingatanku tidak pernah pudar.

Aku berharap mereka turut sama menyaksikan video ini di samping berkongsi cerita dan derita yang kupapar di blog ini.

Sesungguhnya kehilangan kalian amat kurasai….aku rindu waktu-waktu dahulu.


~ Now Everyone Can Fly ~

May 16, 2007
Malam itu aku ke kedai gambar untuk mengambil gambar pasport. Sudah lima tahun aku tidak ke sini. Jika dahulu aku sering ke sini mengambil gambar dan mencuci gambar. Wajah tokei gambar tetap begitu, wajahnya tidak berubah seperti lima tahun dulu juga. Aku senyum padanya, dia turut tersenyum padaku tetapi nyata dia sudah tidak mengenaliku lagi….mungkin aku sudah jauh berubah. Kerusi roda ini yang merubah diriku.

Malam itu aku ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Tidak banyak yang diperiksa di tubuh badanku kerana dia bukan doktor pakar. Surat pengesahan tentang kesihatan dan keadaanku cuma sebaris dua saja. Aku tidak faham apa yang ditulisnya sebab kebanyakan tulisan doktor memang begitu, macam tulisan cacing. Aku cuma boleh baca sedikit ayatnya yang berbunyi ‘fit to fly’, yang lain aku tidak faham.

Hari itu se awal pagi aku sudah berada di depan pejabat Imigresen. Lebih kurang 300 orang sedang beratur menunggu giliran untuk urusan membuat pasport. Aku tidak perlu beratur, ada kaunter khas untuk warga OKU. Lebih kurang dua jam pasportku siap. Bayaran RM300 tidak di kenakan pada warga OKU, waktu begini terasa beruntung menjadi OKU.

Hari itu aku menerima berita dari agensi penerbangan, permohonan aku menghadapi masalah. Lapuran doktor tidak begitu kuat untuk menyokong permohonanku menggunakan fasiliti penerbangannya. Namaku mungkin terkeluar. Aku agak hampa dan kecewa kerana berbagai persiapan telah kubuat.


Hari itu aku ke hospital pakar untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan surat sokongan dari doktor pakar. Aku agak risau dan khuatir, risau jikalau kesihatanku tidak melepasi tahap yang di tetapkan oleh pihak agensi penerbangan. Alhamdullilah, doktor mengesahkan aku sihat walaupun ada satu dua perkara yang perluku berjaga-jaga.

Pagi itu aku di maklumkan oleh agensi penerbangan bahawa permohonanku telah mendapat kelulusan. Gembira hatiku tidak terkira, tidak sia-sia persiapan yang telah kubuat.

Tersenyum aku teringat slogan penerbangan Air Asia “Now Everyone Can Fly”. Aku kini boleh turut terbang juga. Di mana destinasiku? Langkawi…Surabaya…Ireland!! Nanti kusambung ceritaku esok, baiksss dengan hayat…dah tahu diam-diam ya!


~ Kenangan Di hari Ibu ~

May 14, 2007
Akhirnya pencarianku untuk mendapatkan lagu padang pasir yang (sedang diperdengarkan) bertajuk “Nahn Wa Al Qamar Geran” berjaya juga. Lagu ini dinyanyikan oleh Fairouz yang berasal dari Lubnan. Maksud lagu ini ‘Kita dan Bulan Berjiran” (kupetik dari blog Tuan Rastom), versi lagu melayunya dinyanyikan oleh Dato’ Sharifah Aini yang bertajuk “Di malam Persandingan”. Antara kedua-dua penyanyi ini, yang mana lebih sedap?

Aku amat suka dengan lagu ini walaupun tidak faham maksudnya. Melodinya meruntun jiwaku bila mendengarnya. Lagu ini dulu sering di putarkan waktu subuh hari, waktu aku sedang bersiap-siap mengikat tali kasutku untuk ke sekolah.

Teringat aku pada arwah ibuku bila mendengar lagu ini. Sarapan pagi yang di sediakan buatku ‘jemput-jemput pisang’ dan air kopi panas. Aku tidak seperti anak-anak orang lain membawa belanja (duit) ke sekolah. Bagiku jemput-jemput pisang dan air kopi panas yang kujamah pagi itu menjadi bekal alas perutku hingga ke tengah hari. Aku bukan dari keluarga yang senang, aku sudah biasa begitu.

Sudah se puluh tahun ibuku pergi meninggalkan aku. Lebih lima tahun ibuku merana mengidap kanser payudara yang akhirnya membawa maut. Di saat-saat akhir kansernya merebak hingga ke tulang. Ibuku terjatuh dan kakinya patah. Doktor memberitahu kansernya sudah di peringkat akhir.

Masih aku ingat pertanyaan ibuku semasa terlantar sakit dahulu.

“Jas, kau rasa Mak boleh berjalan lagi tak?”

“InsyaAllah, boleh berjalan semula tetapi Mak kenalah rajin buat exercise,”jawabku untuk menyedapkan hatinya.

“Jas dahulu pun patah kaki juga, masuk besi, tengok sekarang sudah boleh berjalan semula,”aku cuba memberi semangat pada ibuku walaupun kutahu harapannya untuk berjalan agak sukar

Kini giliranku pula terlantar, soalan yang sama kulemparkan kepada anak dan isteriku. Jawapannya sama dengan jawapan yang kuberikan kepada ibuku dahulu. Aku cuma boleh tersenyum mendengar jawapannya, jawapan untuk memberi semangat.

Semasa melalui lebuhraya Sungai Besi dalam perjalanan melawat anakku di kem PLKN tempohari, aku sempat menoleh ke arah kiri berdekatan dengan Salak Selatan. Di situlah tempatnya ibuku bersemadi. Semasa melewati kawasan itu, sempat kusedekahkan Al fatihah buat arwah ibuku.

Sejak aku hilang upaya, aku tidak berpeluang menziarahi pusaranya. Laluan untuk ke tanah perkuburan tidak mesra OKU. Entah bila agaknya aku berpeluang menziarahi pusaranya.

Di hari ibu ini, hanya kenangan dan doa buat arwah ibuku, semoga rohnya aman di sana….amin.


Isteriku Kau Segalanya

May 12, 2007

Inilah sebahagian daripada tugas isteriku. Dia bukan sekadar merawatku, menyuap makanku, memandikan aku tetapi memotong rambutku juga menjadi tugasnya. Tidak terfikir olehku dahulu bahawa satu hari nanti isteriku akan menjadi tukang gunting rambutku.

Ingat tidak lagi ceritaku dahulu “Isteriku Kini Jururawatku”. Kali ini sudah bertukar ceritanya, “Isteriku Kau Pisau Cukurku” pelik bunyinya kan!! hahaha….gurauan sahaja. Itulah isteriku wanita serba boleh hinggakan bibirku juga turut terhiris satu ketika dahulu….hehehe.

Jika dahulu aku ke salon atau ke kedai mamak untuk menggunting rambut. Kini tidak perlu lagi, tangan isteriku sedia menanti.

Jika dahulu aku berkata kepada tukang gunting rambut “Mamak, tepi kasi nipis, atas kasi pendek sikit tau!”

Sekarang aku hanya berdiam diri sahaja mengikut rentak tangan isteriku. Jika senget potongannya maka sengetlah rambutku. Jika cantik potongannya maka cantiklah kepalaku. Aku tiada pilihan lagi seperti dahulu, itu semua tidak penting lagi bagiku, janji rambutku pendek dan kemas!!

Aku siarkan video ini sekadar untuk berkongsi cerita berkongsi rasa.

Gambarnya agak tersekat-sekat….sabarlah ya.


Sekadar Gambar………

May 10, 2007
Tiada kata secantik bahasa
Untuk kupuji adinda
Tiada gambar secantik lukisan
Nak kutunjukkan perasaan


Kucari Penawar Luka…macam lirik lagu pula.

May 7, 2007
Hari Sabtu yang lalu aku ke Pusat Perubatan Gleneagles di Jalan Ampang kerana ada temu janji untuk membuat pemeriksaan kesihatanku. Rasanya sudah hampir dua tahun aku tidak ke sini. Agak risau juga hatiku kerana ada nasihat-nasihat doktor yang tidak kupatuhi.

Pukul 9.00 pagi aku sudah tiba di pusat perubatan tersebut di temani oleh anak-anakku. Telah menjadi satu kemestian, ke mana sahaja aku pergi anak-anakku pasti menemaniku, kerana mereka adalah pengangkat-pengangkatku.Tanpa mereka tidak bergeraklah aku.

Isteriku membawaku ke tingkat empat pusat ‘Rehabilitasi’. Sementara menunggu doktor tiba aku dibawa melihat-lihat pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan fesioterapi. Berada di pusat ini tidak terasa seperti berada di sebuah hospital. Hiasan dalamannya dan susun atur perabutnya se olah-olah berada di hotel.

Sebentar kemudian muncul doktor yang kunantikan. Dari jauh sudah kedengaran suaranya.
“Assalamualaikum En. KS, apa khabar?, sambil menghulurkan tangannya kepadaku.
“Jom masuk ke bilik!.” Anakku menolak kerusi rodaku ke bilik rawatan.

Itulah Dr. Tunku Taayah, doktor pakar yang merawatku semasa aku di sini dahulu. Orangnya kecil molek dan amat peramah terhadap pesakit mahu pun keluarga pesakit.

“Macamana sekarang, banyak perubahan ke?, tanya doktor kepadaku sambil mengoyang-goyang kaki dan tanganku. Aku agak fobia bila tanganku dipegang.
“Sudah keras semuanya, ini, mesti tidak buat fisioterapi?”
“Sudah berhenti buat, tidak tahan sakit doktor,”jawabku sambil tersenyum-senyum.
“Luka (bedsore) macamana?”tanya doktor lagi.
“Hari itu lukanya sebesar lubang batang mancis tetapi sekarang sudah besar semula,”balasku.
“Saya kena tengok! , boleh? aku agak keberatan tetapi terpaksa juga membenarkan dokor melihatnya.

Aku diangkat ke atas katil dan di ngerengkan untuk memudahkan doktor melihat lukaku.

“Lukanya agak besar tetapi bersih,”kata doktor kepada isteriku.
“Luka ini boleh sembuh dengan pembedahan, ambil kulit di bahagian lain tampal,”jelas doktor lagi.
“Nanti lain kali datang kita berbincang tentang pembedahan itu,”kata doktor kepadaku.
“Doktor, ada tidak orang mati di sebabkan luka (bedsore) ini?”tanyaku pada doktor.
“Ramai juga pesakit spinal (SCI) yang mati di sebabkan luka (bedsore) dan kerosakan buah pinggang,”jawab doktor kepadaku.

Mendengar jawapan itu aku mengangguk sambil tersenyum. Di dalam hati berkata-kata “bahaya juga luka (bedsore) ini”. Doktor meneruskan pemereksaan tekanan darahku, denyut nadiku dan lain-lain.

Sebelum pulang aku sempat bergambar dengan Dr. Tunku Taayah. Tiada sebarang kos rawatan/pemereksaan yang di kenakan kepadaku, baik sungguh hati doktor ini. Semoga Allah memberkati dirinya dan kerjayanya….amin.

Di dalam perjalanan pulang aku teringin hendak makan ‘nasi kandar’di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Oleh kerana restorannya tidak mesra OKU, kami mengambil keputusan untuk ‘membungkus’ dan menikmatinya di bawah pokok di Taman Tasik Permaisuri yang terletak di Cheras.

Nostalgia makan di bawah pokok berulang lagi.(Klik Tasik Permaisuri

). Di tempat yang sama enam tahun lalu kami duduk makan bersama. Cuma kali ini keadaan agak berbeza sedikit, jika dahulu aku duduk sama di meja tetapi hari ini aku hanya mampu menikmati makanan dari dalam kereta sahaja.

Di sebelah malamnya aku ke rumah mertua kerana menghadiri kenduri doa selamat. Pagi esoknya pula aku pergi melawat anakku di kem PLKN di Taman Templer . Letih sungguh aku minggu ini. Tunggu ceritaku seterusnya.


Jasadku Terpenjara Jiwaku Merdeka

May 3, 2007
Untuk teman-teman blogku, beginilah kehidupan seharianku, terbaring dan mengereng…tentu jemukan? Nasib baik laptop di sisi pengubat jemuku. Dalam posisi beginilah aku menyentuh keyboard dan touch pad merayau dari satu blog ke satu blog.

Plastik yang tergantung pada mula video ini adalah beg kencingku…apalah anakku tidak ada gambar lain ke nak di fokus. Wayar-wayar yang beselirat di lantai itu ialah wayar/motor tilam anginku (ripple mattress) dan wayar laptopku.

Di dinding bingkai gambar tertera ‘2004 pilihan kita’, ini adalah koleksi gambar-gambar reformasiku. 2004 adalah tahun pilihanraya umum di adakan. Sempena menanti kedatangan tahun 2004 aku sempat menempah plet kereta bernombor 2004. Terdapat gambar keretaku berplet 2004 dan gambar aku bersama Viragoku. semasa zaman reformasi. Banyak koleksi gambar-gambar demontrasi yang aku sertai.

Telah 5 tahun koleksi gambar-gambar itu berada setia di sisi katilku. Walaupun aku telah lama hilang dari ingatan mereka (Keadilan) tetapi aku tidak pernah melupakan mereka.

‘Jasadku Terpenjara Jiwaku Merdeka’

Sekiranya video ini tidak dapat di lihat, harap di beritahu padaku


~ Lelaki Tua & Kari Kepala Ikan ~

May 3, 2007
Hari ini aku kembali mengambil suplimen ‘Gamat Healin Gamogen’. Hampir tiga bulan aku terhenti mengambilnya kerana sukar memperolehinya. Sejak jenama ini muncul di kaca telivesyen agak sukar mendapatkannya di kedai-kedai.Harganya untuk kapasiti 500ml mencecah RM 118. Lebih dari sepuluh botol aku telah mengambilnya, aku masih belum berputus asa…cuba dan akan terus mencuba!!

Aku rasa ada tambahan tenaga pada badanku bila memakannya, cuma aku rasa se akan-akan ada ‘radiasi’ di tangan dan jari-jariku bila aku menyentuh laptop. Bila memakannya jariku agak lemah dan kebas untuk menyentuh papan kekunci (keyboard), mungkin ini tindak balas sampingannya pada saraf-sarafku yang telah rosak.

Pun begitu aku gagahi jariku ini untuk terus menghentak-hentakkan jariku di papan kekunci untuk terus berkongsi cerita. Jari-jari ini tidak boleh di manjakan sangat, biar dia bekerja!!

Semasa dalam perjalanan ke PWTC tempohari, aku sempat singgah di restoran kegemaranku di Kg. Pandan. Jika datang ke sini sudah pasti hidangan kari kepala ikan menjadi menu utama kami, sejak dulu, kini dan selamanya (ekk..macam slogan Umno pulak..hahaha)

Semasa aku masuk ke restoran tersebut ada sekeluarga asyik memerhatikan aku sahaja. Aku sempat mendengar mereka menyebut-nyebut tentang kerusi roda. Kuat pula perbualannya hingga aku pun boleh dengar. Aku tidak kisah apa topik yang mereka bualkan. Aku ke sini hendak makan kari kepala ikan.

Seperti biasa isteriku memesan menu hidangan. Kari kepala ikan, ayam goreng madu dan telur ikan yang digoreng. Kari kepala ikan ini pun mempunyai berbagai saiz, ada yang zaiz kecil dan ada yang saiz besar. (macam saiz baju pula…S, M, L)

Memang berselera makan kari kepala ikan yang panas-panas, tetapi aku tidak bolehlah makan seperti dahulu lagi. Makan pun bersuap, jadi kenalah ikut giliran. Sesuap ke mulut isteriku dan dua suap ke mulutku…hehehe. Jika dahulu habis biji-biji mata dan isi-isi di kepalanya aku korek. Sekarang aku cuma dapat memerhatikannya sahaja. Makan kepala ikan ini tidak boleh malu-malu, orang kata tidak boleh ‘kontrol ayu’ alamat tidak merasalah. Ada pendapat mengatakan, makan kepala ikan ini boleh membuat minda kita lemah…entahlah!!

Aku sempat menoleh ke meja keluarga yang memandang-mandang aku tadi. Aku lihat seorang lelaki tua umur anggaran sekitar 70an sedang menikmati hidangan. Walaupun agak uzur tetapi mampu makan sendiri. Teringat aku pada iklan Petronas di musim raya yang lalu, bagaimana seorang bapa mendapat layanan yang kurang memuaskan dari kedua anak dan menantunya. Ya Allah jauhilah aku dari menerima nasib sebegitu.

Setelah selesai makan isteriku meminta bil. Memang seperti di duga, jumlah yang perlu di bayar RM 98 untuk untuk lima orang makan. Harga untuk se pinggan kepala ikan sahaja RM 45, enam tahun lalu harga se pinggan kepala ikan cuma RM 24. Jika ke pasar harga se ketul kepala ikan mentah begini lebih kurang RM 20. Patutlah mamak itu boleh buat restoran dua tingkat!! Jom kita berniaga kepala ikan….hahaha.

Semasa hendak keluar aku nampak keluarga tadi memimpin lelaki tua itu. Rasa simpati juga aku kerana lelaki tua itu jalan agak lambat dan terketar-ketar seperti seorang pesakit parkinson. Mungkin perbualan yang kudengar tadi ada kaitan dengan lelaki tua itu. Mungkin keluarga tersebut tadi mencadangkan lelaki tua itu menggunakan kerusi roda sepertiku agar mudah bergerak.

Anakku menghidupkan injin kereta dan meneruskan perjalanan ke PWTC. Dalam fikiranku masih terbayang-bayang wajah lelaki tua tadi. Walaupun usia sudah meningkat ‘senja’ tetapi masih mampu menyuap makan sendiri dan mampu bergerak walaupun tidak lancar, tidak seperti diriku. Bukan aku menyesali tetapi sekadar membandingi

Beruntung lelaki tua itu mempunyai anak dan menantu yang menyayanginya.


~ Buku-Buku PTS ~

May 2, 2007
Inilah buku-buku yang aku beli di hadiahkan oleh Puan Ainon semasa aku ke Pesta Buku semalam. Petang ini aku mula membaca Jibunsyi ‘Kawan’ hasil tulisan Ezee Rahmani. Inilah buku cerita/novel yang pertama aku baca setelah meninggalkan alam persekolahan lebih 20 tahun lalu…hehehe teruknya aku!!

Aku meminta isteriku merenggang-renggangkan helaian muka suratnya agar mudah di selak. Aku tidak mampu untuk memegang bukunya. Dengan meletakkannya di riba dan dengan bantuan kipas angin memudahkan aku menyelak helaian-helaian buku ini.

Anakku Indah leka dengan dengan ‘Sarah’ hasil tulisan Ezee Rahmani sementara isteriku pula dengan ‘Bahtera Nabi Noh’ hasil karya Saridah Hamid.Semoga buku-buku yang di hadiahkan oleh Puan Ainon dapat di menafaatkan olehku sekeluarga…InsyaAllah.