March 27, 2007
Aku memang suka menulis tentang kehidupanku. Tentang suka duka perjalanan hidupku sebelum dan selepas menjadi OKU. Sekali lagi aku nyatakan, bukan niatku meraih simpati mahupun mencari publisiti. Aku menulis bukan kerana nama…itu lirik lagu Ramli Sarip. Aku menulis sekadar untuk berkongsi cerita, berkongi rasa suka dan derita jua menggurangkan tekanan perasaan.
Aku kerap menghantar tulisanku dan ceritaku di grup Relaxjap (RJ) sekadar mengisi waktu yang terluang. Di RJ aku mengenal dan mendapat rakan-rakan baru menggantikan rakan-rakan lamaku yang hilang meninggalkan aku. Itulah nasib insan-insan sepertiku setelah bergelar OKU. Memang terasa berat memikul gelaran ini lebih-lebih lagi bagi insan yang pernah mengecapi hidup sebagai insan normal.
Beberapa hari ini setelah ceritaku di keluarkan di RJ, aku menerima beberapa e-mail dari rakan-rakan RJ yang ingin tahu tentang penyakitku juga bertanya khabar. Kebanyakannya menyangka aku menghidap atau di serang penyakit ‘Stroke’. Ada yang mengesyorkan aku berbagai kaedah perubatan, terima kasih di atas keperhatian kalian semua.Aku amat-amat hargainya.
Untuk pengetahuan teman-teman, sekali lagi aku ingin menerangkan tentang penyakitku agar terlerai segala persoalan. Bulan Jun’ 2002 tarikh keramat buatku, aku di serang demam denggi berdarah dan koma hampir dua minggu. Di rawat di ICU selama 46 hari, bergantung hidup dengan bantuan oksigen (Ventilator). Selama enam bulan di rawat di hospital dan di benarkan pulang dengan kerusi roda.
Akibat demam denggi sistem saraf-sarafku rosak teruk mengalahkan orang kemalangan jalanraya dan mengalahkan orang jatuh dari bangunan. Itu sudah bahagianku di dunia ini, terima dan redha sajalah….ada hikmah di sebaliknya.
Sistem saraf di badan kita. C1 merupakan paras kecederaan yang paling tinggi sekali. Aku C2…huwawa.
Aku di sahkan oleh doktor mendapat kecederaan saraf tunjang (Spinal Cord Injury – SCI). Kececederaanku di paras yang agak tinggi C2, C3, C4 hinggakan T5, panjang betul kecederaanku (C- cervical, T- thoracic). Aku di beritahu oleh doktor, mengikut kaedah perubatan moden penyakitku ini tiada ubatnya tapi aku yakin satu hari nanti InsyaAllah akan ada penawarnya,
Alhamdullilah…aku bernasib baik, pada kebiasaannya seseorang yang mendapat kecederaan dari paras C1 hingga C4 terpaksa bergantung hidup dengan bantuan oksigen (Ventilator). Aku cuma menggunakan oksigen selama 46 hari sahaja. Bintang filem ‘Superman’ Christhoper Reeves yang juga mendapat SCI terpaksa bergantung hidup dengan oksigen sepanjang hayatnya. Beliau meninggal dunia setelah 9 tahun menanggung penderitaan akibat SCI. Aku entah bila? jangan tanya, ajal maut di tangan Allah, bukan kerja kita.
Kedudukan saraf tunjang (warna kuning) di kelilingi disk tulang belakang.
Mengikut penerangan doktor dan dari pembacaanku, SCI mengakibatkan otak gagal menerima dan memproses segala arahan yang di sampaikan oleh bahagian-bahagian saraf yang rosak dan mengakibatkan anggota-anggota badan tidak berfungsi.
Aku hilang deria rasa dan kebas dari paras dada hingga ke kaki. Aku hanya mampu menggerakan sedikit tangan dan jari-jari. Hanya dengan menggunakan satu jari aku menekan papan kekunci (keyboard) untuk mencari satu huruf. Dari satu huruf aku jadikan satu perkataan, dari satu perkataan aku jadikan sebaris ayat hinggalah ia menjadi sebuah cerita. Aku tidak mampu untuk duduk sendiri dan sepanjang usia terlantar di atas katil. Dari atas katil inilah aku menekan papan kekunci (keyboard) menulis dan bercerita.
Bukan mudah insan sepertiku untuk menaip dan bercerita hanya dengan menggunakan satu jari. Setiap komen dan teguran di blogku dari kalian merupakan satu suntikan semangat buatku untuk terus menulis dan bercerita. Jadi di samping membaca ceritaku, suntikanlah semangat kepadaku, komen dan tegurlah aku….
Aku seperti seorang bayi yang baru lahir, segala-galanya perlukan bantuan. Makan dan minum perlu disuapkan hatta untuk membersihkan diri sendiri pun aku tidak mampu. Aku bersyukur kepada Allah punya isteri punya anak yang setia membantu.
15 Comments |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta
March 25, 2007
Hari ini sudah seminggu anakku Amir menyertai PLKN. Sudah seminggu juga aku tidak di angkat duduk di atas kerusi roda dan bermakna sudah seminggu juga aku tidak di mandikan…main lap-lap saja dari atas katil.
Aku selalu berfikir, bagaimana keadaan aku untuk tempoh tiga atau empat tahun akan datang bilamana anak-anakku memulakan kehidupan sebagai pelajar di luar sana mahu pun memasuki alam pekerjaan. Mereka akan meninggalkan kehidupan berkeluarga, mereka akan meninggalkan aku dan isteriku. Ketika itu usia isteriku meningkat, kederat isteriku mula menurun tidak sekuat sekarang. Apakah yang akan terjadi padaku, adakah aku akan terus terbaring seperti sekarang? Siapakah yang akan membantu isteriku nanti mengangkatku? Buntu fikiranku bila memikirkannya. Rasa-rasa biarlah aku pergi dahulu sebelum tiba masanya itu…aku redha.
Aku sering memohon kepada Allah agar di permudahkan perjalanan hidupku ini dan di pendekkan penderitaanku ini. Di sembuhkan saraf-sarafku yang rosak dan berilah sekali lagi peluang kepadaku agar aku dapat duduk dan berdikari dan dapat beribadat dengan sempurna.
Seperti biasa hari ini isteriku membersihkan luka (bedsore) di punggungku. Sudah hampir lima tahun luka ini tidak sembuh-sembuh, sudah berbagai ubat telah di gunakan.
“Ain bagaimana dengan luka abang, ada perubahankah?”
“Entahlah nampak macam elok sedikit dengan krim baru ini, merah dagingnya,”sambil menunjukkan kapas (gauze) yang di penuhi dengan warna darah.
“Ada tidak orang meninggal di sebabkan bedsore,?tanyaku pada Ain.
“Entahlah, kena tanya doktor,”jawabnya rengkas.
“Tuhan ini maha adil, diberinya luka tetapi deria rasa abang ditarik.”
“Jika abang boleh rasa luka ini, mungkin abang meraung sakit sepanjang masa,”mengakhiri perbualanku.
Hari ini (Ahad) ibubapa di benarkan melawat anak-anak di kem PLKN. Kesian anakku Amir, walaupun kem latihannya cuma di Templer Park, Rawang tetapi aku tidak dapat hadir melawatnya kerana masalah fizikalku. Tentu dia tertunggu-tunggu kedatanganku…..hanya linangan airmata ayahmu pengganti diri.
5 Comments |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta
March 24, 2007
Entah kenapa sehari dua ini telingaku lebih gemar mendengar lagu-lagu berirama padang pasir. Mimpiku pun mimpi-mimpi padang pasir, cuma belum mimpi memakai jubah sahaja….hehehe.
Bila dengar lagu-lagu arab ini terkenang aku zaman sekolah dahulu. Setiap kali hendak mengikat tali kasut pukul 6.30 pagi pasti berkumandang lagu-lagu padang pasir ini di corong radio. Paling aku minat lagu nyanyian penyanyi Habibah Yaakob antara liriknya jika tidak silap “Inti salabiah…uyu nabiah” itu saja yang aku hafal liriknya. Sekarang memang payahlah hendak mendengar lagu-lagu padang pasir ini di radio mahupun TV.
Semalam aku cuba mencari-cari lagu-lagu padang pasir ini di internet. Memang banyak tetapi tidak menepati halwa telingaku. Aku cuba mencari lagu penyanyi Habibah Yaakob tetapi tidak bertemu.
Hasilnya empat lagu yang menepati citarasa jiwaku. Salah satu lagunya yang pernah di nyanyikan oleh Mawi “Habibi Ya Nour El Ein” tetapi lagu di blogku ini di nyanyikan oleh Amr Diab bukan Mawi.
Leave a Comment » |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta
March 22, 2007
Sudah dua malam berturut-turut aku bermimpi pergi ke negara Arab.Tidak pasti ke negara mana….mungkin Bahrain kot…..hehehe.
Malam pertama aku bermimpi tetapi tidak berapa ingat mimpinya. Cuma yang aku ingat se sampai sahaja aku di sana aku terus SMS rakanku tetapi tidak menggunakan telefon bimbit sebaliknya menggunakan shoutbox di blogku…..hehehe. (itulah asyik leka godek-godek shoutbox sampai mimpi).
Malam tadi sekali lagi aku bermimpi ke negara Arab dengan menaiki motorsikal, siap pakai vest macam konvoi dulu-dulu. Aku sempat mendongak ke atas melihat langitnya untuk melihat kot-kot ada perbezaan di antara langit di tempatku dengan langit di negara Arab. Aku juga sempat singgah untuk makan di gerai pak arab. Gerai itu di penuhi dengan masakan berasaskan ‘kekacang’ (hayat memang begitu ke masakan arab?). Aku tidak berselera untuk makan dan dengan menggunakan bahasa isyarat aku cuma meminta sebotol minuman 7up. Mimpiku berakhir di situ sahaja.Aku terjaga sambil tersenyum simpul.
Malam ini mudah-mudahan mimpiku ada sambungannya. Aku seronok bermimpi, dapat bergerak dan berjalan dan siap naik motor lagi…
4 Comments |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta
March 18, 2007
Hari ini anakku Amir buat pertama kali meninggalkan aku menyertai program latihan khidmat negara untuk tempoh selama tiga bulan. Sebelum ini aku tidak pernah berpisah dengannya untuk tempoh yang agak lama.
Teringat aku di suatu petang aku tiba-tiba menanggis terkenang dirinya yang ketika itu baru beberapa minggu tinggal di asrama sekolah. Aku terkenang bagaimana setiap petang dia mengangkatku ke kerusi roda untuk dimandikan. Aku teringat gurau sendanya bersama anak-anakku yang lain. Tiba-tiba tanpanya suasana bertukar sepi dan aku terasa kehilangan sesuatu. Cuma sebulan sahaja dia tinggal di asrama kemudian kembali menetap bersamaku.
Hari ini suasana itu berulang lagi tetapi kali ini aku lebih bersedia menghadapinya. Pagi tadi pemergiannya ku iringi doa tanpa air mata. Di dalam hatiku berkata-kata….
“Tiga bulan tidak lama, pejam celik pejam celik sekejap rasanya”
Entah mengapa tiba-tiba aku teringat nostalgia enam tahun lalu, ketika itu usianya sebelas tahun. Hobinya memelihara ayam serama. Aku juga turut terikut-ikut hobinya dan di rumahnya neneknya hampir lima belas ekor ayam serama yang kubelikan untuknya. Sayangnya pada ayam serama melebihi segala-galanya. Celik mata sahaja… ayam, pagi ayam petang ayam, jika boleh ayam itu hendak dibawa sama ke bilik tidur.
Satu-satu ayam serama yang menjadi kesayangannya diberi nama ‘Black’ kerana keseluruhan bulunya bewarna hitam. Aku tambah namanya ‘Maria’, jadi namanya ‘Black Maria’. Setelah enam tahun berlalu hanya “Black Maria” sahaja yang masih hidup, yang lain mati diserang penyakit.
Enam tahun lalu aku memandu, dia duduk di sebelahku. Kini giliran dia pula memandu aku pula duduk di belakang.
“Peluh-peluh jangan menyandar dekat kusyen, nanti kotor kusyen kereta ayah.”
Itulah teguran yang sering keluar dari mulutku mengingatkannya…maklumlah kereta baru. Sampai sekarang dia masih ingat kata-kataku itu..…hehehe.
Tidak sangka kini dia telah dewasa, tingginya menyerupaiku. Baju-baju dan jeans ku dahulu kini menjadi miliknya sekarang. Jika aku boleh berdiri, rasanya macam kawan-kawan aku dengannya.

2 Comments |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta
March 17, 2007
Harap-harap tidurku malam ini kembali nyenyak dan tidak terganggu lagi gara-gara tilam anginku (ripple mattress) tidak berfungsi. Sudah tiga hari aku berada di dalam kegelisahan, pedih, pijau, panas dan sakit-sakit di seluruh belakangku.
Tilam anginku berfungsi mengurangkan tekanan di bahagian belakangku dan mengurangkan haba dari terperap di bahagian belakang. Tanpa tilam ini hidupku gelisah, ia satu keperluan buatku.
Untuk mendapatkan ganti yang baru dari Perkeso mengambil masa 3 – 4 minggu. Huhhh….mahu melecet badanku sementara menunggu gantinya. Untuk membelinya sendiri, harganya agak mahal mengalahkan harga tilam Vono dan Dreamland.
Adik iparku datang petang ini, mengodek-godek ‘motor’ tilamku. Alhamdullilah…. tilam anginku berfungsi semula dan aku kembali tersenyum.
Esok anakku Amir berangkat menyertai PLKN, huuhh….tiga bulan nampaknya aku akan terbaring tanpa bantuannya. Sedih juga hati kerana aku tidak dapat menghantarnya kerana masalah kesihatanku.
Leave a Comment » |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta
March 16, 2007

3 Comments |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta
March 15, 2007
Hari ini se awal 6.00 pagi aku sudah bangun dari tidur. Pagi ini aku bercadang mengikut isteriku ke pejabat imigresen Kajang menemani anakku Indah membuat pasport.
Seperti seorang bayi kecil aku disiapkan oleh isteriku, baju, seluar dan stokin dipakaikan ke badanku. Aku cuma dapat memerhatikan sahaja, hendak turut membantu tidak mampuku lakukan. Hampir setengah jam isteriku menyiapkan diriku, berpeluh-peluh dahinya. Itulah senario yang terpaksa isteriku lakukan setiap kali membawa aku keluar. Agak susah juga menyiapkan ‘bayi tua’ ini kerana pergerakan tangan dan kakiku berlawanan arus dan agak keras tidak seperti seorang bayi kecil yang mudah di alih-alih. Untuk menyiapkan bayi tua ini tahap kesabaran perlu tinggi di samping kekuatan fizikal.
Pukul 8.00 pagi aku sudah sampai di pejabat imigresen Kajang di tingkat 4 Plaza Metro. Pergghh…barisan menunggu giliran sudah beratur panjang, anggaranku lebih kurang 300 orang. Anakku Indah pun turut sama mengambil giliran dan beratur. Oleh kerana sudah sampai ke sana, aku turut sama mengambil peluang untuk membuat pasport. Ada laluan khas untuk warga emas dan OKU dan di waktu ini terasa beruntung pula menjadi OKU. Proses mendapatkan pasport lebih kurang dua atau tiga jam sahaja.
Sementara menunggu pasportku siap, aku bersarapan pagi di Kopitiam bersebelahan dengan pejabat imigrisen. Sesekali aku melihat Indah tersenyum-senyum berdiri menunggu gilirannya. Roti bakar dan secawan milo ais menjadi sarapanku pagi ini. Aku perasan ada juga ‘mata-mata’ yang melihat setiap kali isteriku menyuap roti dan minuman ke mulutku…..aku sudah lali. Mungkin dalam hati mereka tertanya-tanya “Orang ini (aku) lumpuh di sebabkan kemalangan atau sejak lahir?” itu cuma telahanku sahaja…hehehe. Isteriku menggantikan tempat Indah beratur untuk memberi peluangnya bersarapan bersamaku.
Jam hampir 10.30 pagi, Indah masih jauh untuk sampai ke kaunter pendaftaran. Sebentar kemudian terdengar pengumuman mengatakan angka giliran untuk hari ini sudah kehabisan. Semua pemohon termasuk anakku di minta datang keesokan hari. Ramai yang rasa hampa setelah dua jam beratur tetapi gagal mendapatkan giliran.
Sementara menunggu pasportku siap, salah seorang pegawai di situ datang bertanya kepadaku. Isteriku memohon ihsan agar anakku yang gagal mendapat giliran diberikan pertimbangan. Di atas budi bicara pegawai itu, akhirnya Indah berjaya mendapatkan pasportnya.
Aku meninggalkan pejabat Imigresen Kajang dengan senyuman. Terima kasih atas layanan dan budi baik yang diberikankan oleh pengawal keselamatan, kakitangan kaunter dan pegawai yang berkaitan. Sesungguhnya khidmat anda amat memuaskan.
7 Comments |
Uncategorized |
Permalink
Posted by lagendabuta