Enam bulan seterusnya aku berulang-alik ke hospital swasta kerana aku masih bercuti sakit dan segala rawatan masih di tanggung oleh majikanku. Di hospital swasta ini layanan sentiasa ‘mesra’ , mula daripada keluar pintu kereta sehingga masuk kembali ke dalam kereta semuanya di tanggung beres. Para Jururawat mahupun Doctor sentiasa memberikan senyuman manis dan layanan kelas satu. Aku tak perlu tunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan, kadang-kadang aku rasakan aku berada di hotel bukannya di hospital tapi bila melihat jarum suntikan baru aku tersedar yang aku ini sebenarnya berada di hospital.
Setelah genap setahun aku bercuti sakit, akhirnya aku menerima kenyataan bahawa aku tidak lagi mampu untuk meneruskan tugasku. Surat tamat perkhidmatan tugasku di terima dengan hati yang terbuka tapi amat berat dirasai sekali. Kalau dulu surat tawaran berkerja dan surat kenaikan pangkat yang ku terima di iringi dengan senyuman tapi kali ini berbeza sekali, sayu sekali hatiku bila membacanya ‘Selamat bersara dan kami doakan kesejahteraan saudara’ itulah lebih kurang bunyi pengakhir kata isi surat tersebut.
Kini rawatan susulanku beralih ke Klinik Daerah Kerajaan yang berdekatan dengan tempat tinggalku. Bayaran rawatan cuma RM1, jadi aku perlu akur dan faham keselesaan dan kemudahan yang bakal aku terima tidak sama seperti hospital swasta lima bintang.Walaupun aku berkerusi roda dengan beg kencing tergantung di kerusi roda, aku harus mengikut giliran untuk mendapatkan rawatan seperti pesakit-pesakit yang lain. Tiada istilah istimewa, tiada lagi rawatan kelas pertama untukku, di sini semuanya sama sahaja. Kalau ingin mendapatkan rawatan, tunggulah 2/3 jam, kalau tidak sabar pergilah ke hospital berbayar. Di sinilah tempat untuk menguji kesabaran se saorang itu. Begini rupanya kerenahnya, selama ini aku tidak tahu dan tidak pernah merasa kesusahan yang mereka alami, barulah sekarang aku dapat rasai kepayahan mereka menunggu untuk mendapatkan rawatan. ‘Penantian itu adalah satu penyiksaan’ lebih-lebih lagi bagi orang sepertiku yang berkerusi roda.
Masih ku ingat lagi bila giliranku di panggil, tanpa banyak soal dan periksa aku diangkat di atas katil rawatan untuk di tukar Cathether, tiba-tiba ‘Oooh yang ini kita tak buat di sini, awak kena pergi ke bahagian kecemasan Hospital Daerah K’ penat saja tenaga adik ipar dan isteriku mengangkatku keatas katil. Aku pulang kerumah hari itu tanpa menukar Cathether.
Bulan seterusnya aku terus ke bahagian kecemasan Hospital Daerah K seperti yang di arahkan. Di sini sekali lagi kesabaranku teruji, belum sempat berbuat apa-apa aku di suruh pergi ke Klinik Daerah tempat mula-mula aku pergi dahulu. Setelah puas bertegang suara akhirnya aku di benarkan mendapatkan rawatan di situ.Untuk rawatan akan datang aku di arahkan pergi berjumpa doctor di Klinik Pakar hospital tersebut.
Di bahagian kecemasan ini pula timbul satu masalah, siapakah yang akan lakukan tugas dan rawatan ini?, Doktor atau Pembantu Perubatan?, aku dan isteriku hanya mampu melihat kerenah kakitangan di bahagian kecemasan hospital tersebut. Mereka sesama sendiri tidak pasti, Doktor yang bertugas ketika itu memberitahuku yang beliau kurang arif tentang cara menukar Cathether. Akhirnya setelah menelefon di sana sini maka tugas tersebut dilakukan oleh Pembantu Perubatan. Rawatannya kurang 20 minit tetapi kerenah yang terpaksa aku lalui melebihi waktu rawatan……biasalah tuu hospital kerajaan!!! aku harus menerima hakikatnya.
Bulan seterusnya masalah yang sama berulang kembali, keadaan ini berlarutan setiap kali aku datang mendapatkan rawatan di sini, orang ini kata orang ini,yang sini kata sana yang sana kata sini, aku tak pasti bahagian mana dan siapakah yang bertanggung jawab dalam kes ku ini. Bayangkanlah fizikalku yang kurang cergas, kerusi rodaku di tolak ke sana ke sini gara-gara sikap kakitangan yang kurang berdiplomasi dan proaktif tersebut. Bosan dengan kerenah kakitangan hospital tersebut, aku menyuruh isteriku memerhati dan mempelajari cara-cara menukar Cathether kencingku ketika rawatan diberi, aku sudah jemu untuk bertekak dengan mereka. Bukanlah kesemuanya mereka bersikap begitu, ada juga yang bersopan santun dan simpati terhadapku.
Segala peralatan seperti Syringe, Gauze, Cathether, Normal Saline dan Porviden di beli sendiri oleh isteriku di Farmasi sebagai persediaan untuknya mengambil alih tugas Doktor dan Pembantu Perubatan. Bilikku kini seperti bilik mini rawatan hospital, penuh dengan alat-alat dan ubat-ubatan.
Pertama kali melakukannya isteriku amat berhati-hati, aku lihat dahinya berpeluh, apa ke tidaknya, hendak memasukkan tiub ke lubang perut suaminya, aku sendiri pun ngeri untuk melihatnya tapi aku tetap memberi semangat kepadanya untuk meneruskannya. Alhamdulillah….. berjaya isteriku melepasi ujian pertamanya. Pernah satu ketika isteriku tersalah cucuk, bukan air kencing yang keluar tapi darah yang memancut, panik seketika. Tapi lama kelamaan perkara ini menjadi kebiasaan buatnya.
Kini aku tak perlu lagi bersusah payah ke hospital, isteriku kini mampu dan berani melakukannya. Bukan setakat itu saja, luka di punggungku (bed sore) yang hampir tiga tahun lamanya akibat terlalu lama berbaring mampu di rawatinya.
Kini hampir 4 tahun berlalu, segala-galanya mampu dilakukan oleh isteriku, daripada memandikan, membersihkan, menyiapkan, menyuapkan makanku dan melakukan latihan fesioterapi semua di lakukannya. Isteriku sekarang seperti seorang doktor yang bertugas 24 jam dan bersedia untuk ‘On call’ bila-bila masa sahaja. Sekarang dia bukan sahaja Isteriku tetapi Jururawatku juga.
Posted by lagendabuta
Posted by lagendabuta
Posted by lagendabuta 


