Blog Utama

April 8, 2008

Blog ini tidak di updatekan. Sila ke blog utama “Nostalgiaku’ di sini


Sebuah Mimpi Sekeping Hati

September 5, 2007

Selepas sholat Asar petang ini mataku cukup mengantok sekali. Aku memang jarang tidur di waktu petang. Orang kata tidur selepas waktu Asar tidak elok tetapi di sebabkan mengantok sangat kupejamkan juga mata ini, tambah pula malam tadi seperti kebiasaannya aku berjaga malam.

Malam tadi sebelum tidur kuambil ‘Beclofen’ untuk merehatkan otot-ototku yang kejang (spasm). Kesan ‘Beclofen’ ini yang membuatkan aku mengantok di siang hari tetapi tidak pula malam hari. Sudah lama aku berhenti mengambilnya kerana kehabisan stok.

Mengikut nasihat doktor aku perlu mengambil 3 biji setiap hari tetapi aku cuma mengambil 3 biji untuk seminggu, patutlah spasm ku kuat sekali. Sebiji ‘Beclofen’ bersaiz 3mg yang sebesar setengah daripada panadol berharga RM 4. Jika sehari diambil 3 biji seperti di sarankan oleh doktor bermakna RM12 sehari dan untuk sebulan bermakna RM360. Huuhh…mahalnya harga untuk merehatkan otot-ototku. Itu belum lagi termasuk ubat-ubatan dan suplimen yang lain. Tidak mengapa, biar kubayar harga ubat itu dengan kekejanganku, tanpanya aku masih lagi bernafas sehingga kini. Tuhan itu maha Adil.

Berbalik pada kisah tidurku, hemmm…nyenyak betul tidurku di petang hari. Hampir Maghrib baru kuterjaga. Dalam tempoh tiga jam jauh perjalanan mimpiku. Selalu bila bermimpi, aku seperti kalian, berjalan dan juga berlari tidaklah cacat sebegini. Tapi kali ini lain pula mimpiku, aku berjalan tetapi bertongkat. Tidak mengapalah, walaupun bertongkat janji aku dapat berjalan.

Kali ini aku bermimpi pergi berziarah ke rumah adik-adikku. Rumah pangsa, walaupun hanya dengan bertongkat aku gagahi menaiki anak-anak tangga untuk sampai ke rumah mereka. Payah juga untuk kakiku mengatur langkah untuk sampai di depan pintunya. Kepayahanku berbalas bila dapat bertemu dengan adik-adikku dan juga anak-anak saudaraku yang telah lama tidak kutemui.

Bila terjaga dari mimpi aku tersenyum lantas aku ceritakan kepada anak dan isteriku tentang mimpiku itu. Cukuplah hanya di alam mimpi aku bertemu dan bergembira dengan mereka. Walaupun pun pada zahirnya kalian, abang-abangku, adik-adikku dan juga anak-anak saudaraku sudah sekian lama tidak lagi datang menziarahiku. Sungguh mahal sekali harga sebuah persaudaraan buat kalian semua.

Entahlah……sudah di takdirkan begini nasibku, di pinggirkan oleh ahli keluargaku sendiri setelah berstatus cacat. Pun begitu aku tetap gembira punya keluarga di sebelah isteriku yang mengambil berat tentang diriku dan mengantikan ahli keluargaku yang hilang entah kemana.

Hidup ini umpama putaran ‘Eyes on Malaysia’, ada ketika kita bergembira, gelak ketawa bila berada di puncak. Kita lupa seketika untuk merenung mereka yang di bawah. Pasti akan tiba waktunya putaran roda itu akan membawa kita turun ke bawah jua.

Mimpiku sungguh indah sekali tapi sedu hati bilaku kukenangkan.

Lagu ‘Mati Hidup Semula’ kusisipkan bersama catatanku ini.


Teman Tapi Mesra…

August 9, 2007

Mungkin aku tidak perlu menulis panjang-panjang lagi. Sekadar sedikit catatan harianku sebagai mengisi ruang kosong di blogku.

Hari ini jam 3.00 petang baru aku didudukkan setelah selama 12 jam dalam posisi terbaring ‘mengereng’. Bayangkan dari jam 3.00 pagi ke 3.00 petang keesokannya di dalam posisi yang sama. Macam-macam rasa….tatkala ini teringat arwah Zul. Nampak tenang pada zahirnya tapi batin terseksa…itu Mawi cakap bukan aku yang cakap.

Bosan, lenguh, panas dan pijau semuanya ada. Bila terbaring terlalu lama begini fikiran buntu. Yang positif menjadi negatif, semangat mula merudum. Orang kata gunakan waktu-waktu begini untuk mengingati Allah…InsyaAllah.

Sambil terbaring jariku menolak-nolak ‘touch pad’, membaca teguran dan gurauan teman di mesej box….baru hilang sedikit kebosanku. Terima kasih buat teman-teman yang sudi menconteng memberiku sedikit hiburan.

Kepada yang meninggalkan komen di entri-entriku, JANGAN berkecil hati jika aku tidak respon komen kalian. Aku membacanya tetapi JARIKU tidak mampu membalasnya. Harap kalian mengerti keadaanku…

Sebelah malam sempat juga aku berchating dengan baiksss dan UncleJ. Jangan lupa janji kita…’Kedai Mamak’….hehehe…itulah Teman Tapi Mesra.

Waktu sudah dinihari. Aku kembali mengereng….. esok apa pula cerita.

Jam 3.05 am


Aku Masih Mengingatinya

August 5, 2007

Hari minggu ini semua anak-anakku berada di rumah. Pukul 1.00 tengah hari aku sudah di dudukkan…seronok betul hatiku. Pada kebiasaannya jam 4.00 petang baru aku berpeluang duduk.

Indah dan Amir yang membantu dudukkan aku. Telah menjadi rutin seharian Indah membantuku. Isteriku sedang sibuk memasak di dapur. Petang ini Amir akan kembali ke kolejnya di Port Dickson. Aku rasa macam nak ikut saja menghantarnya ke PD. Kebetulan baiksss pun sedang bercuti di PD…hehehe.

Semalam aku diangkat mandi selepas dua minggu tidak berpeluang mandi…busuknya aku! Selepas mandi sambil duduk di atas kerusi roda, Indah menyuapkan aku buah ‘mata kucing’. Hemm….memang aku suka makan buah mata kucing. Teringat waktu dulu-dulu, sambil memandu isteriku menyuapkan buah mata kucing ke mulutku. Sementara nak sampai rumah, habis se kilo aku dan isteriku makan….hihihi boleh tahan juga aku makan.

Selepas makan buah mata kucing, anakku Feeni menyuapkan kumakan nasi lemak yang dibeli di pasar malam. Boleh tahan juga pedasnya nasi lemak itu. Kemudian isteriku pula menyuapkan kumakan bihun sup, makan rasa-rasa saja. Aku rasa seronok sangat malam tadi, masing-masing ada peranannya sendiri.

Setelah makan, Amir dan Azrul mengangkatku ke katil. Sambil menggereng aku melayari lagi blog arwah Zulrushdi. Tidak puas rasanya aku membaca kisah hidupnya. Melihat arwah di atas katilnya dengan kipas dan troli di sebelahnya teringat pada diriku…perjalanan hidup kita hampir sama saja. Alangkah baiknya jika aku berpeluang mengenali arwah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya.

Catatan hidup arwah sungguh meninggalkan kesan padaku. Terdetik di fikiranku, jika di takdirkan aku tiada nanti, agak-agaknya blogku ini masih dikunjungi lagi? 


Tentang Kehidupan

August 5, 2007

 “Tiba2 malam tadi aku susah nak nafas! Panik jugak, dah sampai masa ke? Dada aku rasa sesak, nafas pendek, setiap nafas aku tarik rasa sakit. ““Dia risau sangat, pagi2 tadi dia call nurse Hospis. Nurse tu promise nak datang dgn Dr. dia. Dia kata kalau perlu kena pergi hospital terus. Tak lalu jugak aku memikirkan nak pergi hospital, tiap2 perjalanan ke hospital penat sangat; kena naik turun kerusi roda, kereta, katil. Kengkadang aku rasa biar ler aku baring ajer atas katil ni…. “ 

“Lepas tu, petang tadi, org datang pasang aircond! Seronok nyer aku, sbb dah tak tahan berpeluh2 atas katil sampai basah lapik. Aman sekejap dunia aku rasa. Dapat rasa seronok sekejap macam ni pun dah bersyukur aku sangat, at least kalau aku pergi, leh pergi dgn selesa, InsyaAllah. Kalau tak tiap2 hari aku tak tahan berpeluh2 atas katil, kena ganti lapik selalu sebab basah dek peluh. Bayangkan ler, 24jam terbaring atas katil jer. Alhamdullilah, aku rasa selesa sedikit sekarang, hati aku tabah kembali…. “ 


Di atas adalah catatan arwah Zulrushdi yang kuambil dari blognya. Bergenang air mataku membaca tulisan-tulisannya. Sambil aku mengereng satu persatu catatannya kubaca. Lebih tiga jam aku mengambil masa menghabiskan catatan-catatan terakhir di blognya, sebak rasa di hati.

Arwah di sahkan mengidap kanser kolon ketika berusia 40 tahun. Akibatnya arwah lumpuh dari paras pinggang dan terbaring di katil. Terpaksa memakai diapers untuk buang air kecil dan air besar. Beliau di jaga oleh adik dan si DIA, kedua-duanya perempuan dan di bantu oleh Abang Sham. Menurut doktor arwah cuma ada masa 6 bulan sahaja untuk hidup.

Dari atas katil arwah mencatat detik-detik akhir di blognya hingga menghembuskan nafas terakhir pada 10 Mei 2007 setelah lebih enam bulan menderita.

Walaupun penyakit arwah berbeza dengan penyakitku tetapi penderitaan yang di lalui hampir sama denganku. Membaca kisahnya se olah-lah aku berada di tempatnya.


“I am all alone this morning. Somehow, I feel really scared. Scared because I feel helpless. I am helpless to do things; what if there is fire? What if there is some emergency? Nothing, I can do, just lie there and wait I guess. “
“Tapi adik aku dgn dia betul2 care; pagi2 adik dah keluar beli kueh2 utk aku alas perut. Dia org letak tepi aku semua, supaya senang aku capai. Ada air, kueh ketayap, karipap, etc. “ 


“Nak legakan hati aku, dia org bawak aku pergi
Low Yat Plaza. Seronoknya aku rasa, semenjak aku sakit, dah berbulan aku tak pergi gi jalan2, apa lagi shopping barang computer/elektrik yang memang aku minat! “ 

“Tapi yg aku kesian abg aku… dia risau betul bila aku sakit. Tapi aku terpaksa tahan ler, terpaksa go through all the steps. Dia nak angkat aku pun berhati2 sungguh. Sekarang ni dia ajer yg aku percaya utk angkat aku, sebab dia tau cara yang betul. Cuma, dia kecik lagi dari aku, aku kengkadang kesian sangat takut dia sakit belakang ker. Aku sampai pernah terpikir nak mintak potong ajer kaki aku yg tak boleh pakai dah ni supaya badan aku ringan, senang abg aku nak angkat… “

 

“Bila morphin dah berkesan, aku start rasa seronok sangat, sebab reality hits… aku dah sampai rumah!! Aku rasa cam tau mau keluar dari rumah aku dah, tak mau pergi hospital dah. Aku terus keluar kan notebook, make sure wireless semua jalan. Dan, aku pun terus mengupdate blog ini… “

Arwah gembira bila dibawa keluar berjalan-jalan, perasaan yang sama kurasai. Arwah minta kedua-dua kakinya dipotong untuk memudahkan badannya diangkat, perkataan yang sama juga pernah kuucapkan kepada isteriku. Arwah agak risau bila di tinggalkan bersendirian, khuatir jika ada kebakaran atau kecemasan. Aku juga berperasaan sedemikian bilamana isteriku terpaksa meninggalkan aku sendirian.

Walaupun arwah sudah tiada tetapi blognya masih di kunjungi oleh teman-temannya. Satu perjalanan hidup yang amat menginsafkan.

Al fatihah buat Allahyarham Zulrushdi.

* Aku mohon maaf pada pewaris blognya kerana mengambil sedikit catatan arwah untuk paparan di sini. Semoga catatannya dapat memberi sedikit keinsafan kepada kita.


Nasihat….Mahadzira

August 1, 2007

Setahun ku berblog, ini pertama kali kuterima komen/nasihat yang begitu panjang dan baik dari sahabatku Sheikh Mahadzira….Terima kasih saudara.Ku ingin kongsi bersama nasihatnya. – 4.43 am

 

————————————————————————————————————————

Bismillah

Salam Abang Kassim.

Saya mahadzira dari klang selangor.Boleh saya tanya bagaimana keadaan luka abang itu.Dah ok ker?..Risau tak sampai hati juga saya melihatnya. Tambah pula dengan kakak..wife abg. Amir pulak takder..ayoyoo..sapalah nak angkat dudukkan abg.

Bertuah kucing abg itu….syukurlah ada hamba Allah yang menjalankan tugas khalifah menolongnya.Saya percaya di pun bertasbih kpd Allah semesztinya dan percayalah untuk mendapat perhatian Allah bukannya mudah. kenalah kita saling bahu membahu sesama kita…dan yang paling berat bagi manusia ialah berbuat kebajikan untuk mendapat kebajikan.

Subhanallah…umur hidup ku menemukan aku dengan Aiyub a.s juga isterinya menjadi kenyataan di dunia ini lagi.Kamu lah Aiyub yang satu lagi barangkali dari segi perlambangannya dan kakak yang taat adalah isteri Aiyub yang dahulunya miskin menjadi kaya lantaran kesembuhan penyakit suaminya.

Bukan menyamakan berdosa saya. sekadar memberitahukan agar abg dan kak tidak selalu duka nestapa dan keluh kesah. saya budak lagi dan ampun kan saya jika memberi harapanpalsu kepada akak dan abg.pada yang penting saya jumpa saudara yg mengajar saya erti bagaimana gigihnya manusia.

Abang mulai hari ini dalam bulan yang khusus REJAB ini tadah lah air yang hujan setiap sebelah malamnya/siangnya. dan jika hanya gerimis tadah lah juga walau setitisJangan abg akak abaikan malam jumaat yer..Terutama malam jumaat 26 malam 27 rejab.bulan hijrah 1428

***SAYA HARAP SANGAT KALAU ABANG BOLEH PUASA DAN MOHONLAH MALAM TERSEBUT HUJAN. SEMUANYA DARI ALLAH.] INGAT TU…….JANGAN TIDAK-TIDAK DAN LENGAH…PESAN

DENGAN KAKAK.BAIK-BAIK…SYAITHAN ITU PENDENGKI…JANGAN SAMPAI DI MELUPAKAN KAKAK ATAU ABANG.

Insyaallah kalau saya pulak yang terlupa…tapi jangan takut saya jaga betul dengan izin Allah berpuasa hari jumaat 27 Rejab itu.

Abang kalau nak puasa dan kakak pun kalau tak uzur nak puasa boleh ajak anak ..Amir sekali puasa 27 ok.

BACA LAH IQRA. MULAI DARI HARI ABANG DAN KAKAK BACA DAN FAHAM SURAT YANG SAYA TULIS INI.

Ayat Kursy sepanjang hari ke…waktu solat ker….asalkan jangan tidak-tidak mesti baca. sampai lah abang dan kakak bertemu hari 14hb August 2007.

AllahuAkbar.Insyaalah jika abang akak nak baca sampai menghembuskan nafas terakhir pun tidak mengapa. Kita berlumba-lumba kejar pahala ok. Siapa sampai dulu…menemui tuhan masing-masing. Semaksud dengan FirmanNYA: ” Mudah-mudahan kamu suka menerima pahala ”

Dan satu lagi jangan lupa baca-bacalah selawat nabi…jangan satu Nabi sahaja.Mesti WAJIB KALAU SAYA LAH ..HAFALKAN KESEMUANYA BUAT KOLEKSI DI BLOG LAGI BAGUS.

SAYA BAGI HOMEWORK HAFAL mesti hafal menurut kadar kemampuan abg dan kakak. SAYA SENDIR PUN BUKAN HAFAL SEMUANYA. AMIR JANGAN LUPA…

Masyaallah bang….ingatlah Aiyub banyak-banyak. Mandi lagi air 27 Rejab itu sehingga 1 sya’ban. Hari penamat…memasuki bulan baru.

Yang nak menyambut bulan Sya’aban ini pulak abg dgn saya kita berdua kena mulai DETIK teringat dan terasa lapang BACA SELAWAT BADAR. Kalau nak bagus search….dalam GOOGLE YOUTUBE selawat. Cari sampai dapat. Type nama kawan saya insyaallah copy/paste ke search box. syeikh mishary rashid al afasy WWW.ALAFASY.COM/EN ada 2 versi Arab/English..tamat

Akhir Kalam biarlah bang orang hinakan kita.muka/badan kita hodoh dan bodoh.Asal kita tahu yang membentuk segala wajah/rupa adalah Allah. Dia lah Al-Musawwir dan dia lah Al Bari.

Berbuat baik lah sebagai mana Allah telah berbuat baik kepada kamu.Dahulukan sedeqah dan sedekah terbaikpada ku adalah ” Sedeqah si miskin kepada Si miskin ”

*Bak kata Rabiatul Adawwiyah.” Taubat diatas Taubat”_

_____________________________________________

Upah saya ialah: Abang tolong pasangkan ayat Al-Quran berikut di Laman web/blog abang. Yang dah ada itu memang cantik Islamic. syukur.Saya PUJI abang. Terserah abanglah mahu memulangkannya pada Allah atau menyimpannya untuk diri sendiri.

_______________________________________________________________

Salamun Qaulam Mirrobbirohim.Al-Fatihah.Amin ya Rabbal AlaminWailahukum Ilahuwwahid.Subhanal Malikil QuddusRobbil mala i’kati war’RUH.

MANDI BACA AYAT YANG DI ATAS DAN BAWAH INI OK ABG/KAK.

” ALLAHUMMA YA SYAFI YA SOBUR ”Salamun ala Daud dan Sulaiman alaihissalam.

Alhamdulillah tamat tugas saya. Assalamu’alaikum.ikhlas,mahadzira_al_baqi@yahoo.co.uk0122753372


Sekeping Pampers Sehelai Kain Pelekat

July 25, 2007

Semalam semasa isteriku menyuapkan kumakan, aku sempat membacakan cerita di blogku. Cerita ‘Serupa tapi tak sama’ sebagai menghargainya menyuap kumakan.

“Okey sambil Ain suapkan makan, abang bacakan cerita baru abang.”

“Tapi Ain jangan menangis!,”kataku mengusiknya.

Sambil menikmati nasi berlaukkan sambal ikan sardin, aku membaca perenggan demi perenggan ceritaku itu. Sesekali aku berhenti membaca kerana kepenatan. Melakukan dua kerja dalam satu masa …mengunyah dan membaca.

Setelah habis cerita kubacakan, aku melihat wajah dan reaksinya. Sama ada dia menangis atau tidak.

Hmmm….isteriku tidak sedih langsung mendengar ceritaku, memang kuat hatinya. Sebaliknya air mataku pula yang berlinang jatuh. Betul bak kata pepatah melayu ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ Jadi aku ini ‘bahu’lah yaa…huhuhu.

Lupakan kisah mata dan bahu, ikuti nostalgiaku kali ini….

Beberapa hari kebelakangan ini, jari yang kugunakan untuk menekan keyboard se akan lemah. Kejangku (spasm) bertambah kuat. Kejangku ini bukan boleh di bawa berunding, jika tidak berhati-hati kakiku boleh menendang (involuntary movement) sesiapa yang cuba membetulkannya.

Hanya mereka yang mendapat kecederaan saraf tunjang (SCI) saja yang dapat mengambarkan atau merasai siksanya kejang ini. Tidak sakit tetapi menyiksakan.

Beberapa kali isteriku cuba meluruskan kakiku tetapi kaki ini se akan melawan. Makin cuba di lurus makin dia menendang. Kadang-kadang aku rasa kaki ini se olah-olah ‘dengki’ pada isteriku. Jika tidak kuat semangat dan tenaga mahu saja’ naik angin’ bagi mereka yang menjagaku.

“Ain ambilkan parang potong saja kedua-dua kaki ini,”kataku, geram pada kaki yang sering kejang ini.

“Kalau nak potong, baik potong paras leher, biar tinggal kepala saja, tak payah nak jaga luka di punggung abang lagi,” tambah isteriku. Aku tersenyum mendengar katanya. Aku tahu, dia perliku.

Badanku di ngerengkan untuk memudahkan luka di punggungku di bersihkan. Luka ini perlu di bersihkan setiap hari.

“Abang tak mahu tulis ke cerita abang pakai pampers?”Tanya isteriku sambil membuka lekatan di pampersku.

“Ishh…. malulah, tulis cerita pasal abang pakai pampers,” kataku.

“Bagaimana keadaan luka abang?”Tanyaku.

“Luka abang ni dalam, susah nak baik,”kata isteriku sambil menunjukkan ukuran kedalaman lukaku. Lebih satu inci dalamnya.

“Macamana nak cepat baik Ain?”Tanyaku lagi.

“Abang kena bangun dan berjalan semula, kalau terbaring macamana nak baik,”jelas isteriku.

Aku hanya diam. Sesuatu yang di luar dari jangkauan fikiranku. Pun begitu aku tidak pernah berputus asa. Setiap kali mengadapNya, pasti kupohon doa dari yang Maha berkuasa…

Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku
Dosa-dosa besarku, dosa-dosa kecilku
Ya Allah,
Berilah aku peluang untuk hidup seperti manusia biasa
Berilah aku peluang untuk bertaubat dan menebus dosa-dosaku
Berilah aku peluang untuk sujud dan bertaqwa kepadamu
Ya Allah,
Berilah aku kekuatan dalam menempuh dugaan ini.
Berikan kekuatan kepada kedua-dua belah tanganku ini
Berikan kekuatan kepada pinggang dan tengkukku ini

Berilah aku peluang untuk duduk seperti dahulu
Sembuhkanlah lukaku ini….Amin.

Sambil isteriku membersihkan lukaku, aku terkenang waktu aku sihat dahulu. Terkenang pada jenama pakaianku dulu. Seluarku berjenama ‘John Master, Padini, Wrangler, Lee Coopers entah apa lagi. Bajuku pula berjenama ‘Padini, Crocodile, Elba… entah banyak lagi, aku pun sudah lupa, sudah lama pakaianku ini terperuk di dalam almari.

Kini semuanya tinggal kenang-kenangan. Jika dulu seluarku ‘John Master’ jenamanya, sekarang ‘pampers’ menggantikannya. Jika dulu kemeja biru jenama ‘Padini’ bertali leher merah pakaianku, kini sepanjang waktu aku tanpa baju.

Jika dulu sebatang pen tersisip megah di poket bajuku, kini tiub kencing tersisip malu di badanku. Jika dulu pen dakwat hitam melakar detik-detik kejayaanku. Kini warna kuning kencingku menitik melingkari kesuraman hidupku.

“Wah…KS, macam GM (General Manager) pakai kot,”kata Kak M, mengusikku.

Memang di pejabat aku sering memakai kot waktu bekerja. Bukan nak melaram tetapi kesejukkan. Kulit aku nipis, alah dengan hawa dingin.

“KS, Azman cakap nii, bawa fail jumpa saya sekejap,”suara bosku di ganggang telefon.

Bila setiap kali di panggil mengadap bos, pasti kot aku tanggalkan. Bukan apa, aku malu, nanti di katakan pula melawan tokei. Bos pun tak pakai kot….hehehe.

Sesungguhnya bosku En. Azman yang kukenali lebih sepuluh tahun memang suka melihat staffnya yang berketrampilan, berkeyakinan dan berpersonaliti.

Sesekali bila mengadap cermin di tandas aku berkata-kata di dalam hatiku “Boleh tahan juga aku ya, berkemeja putih bertali leher merah dan berkot gelap, macam GM!” Aku ke nii!, macam tak percaya…hahaha.

“Abang, Ain nak pusingkan badan abang, nak pakaikan pampers,”kata isteriku mengejutkan nostalgiaku.

Setiap kali di pakaikan pampers, setiap kali itu juga semangatku hilang. Tiada lagi kemeja lengan panjang bewarna biru di tubuhku. Tiada lagi tali leher merah tergantung di leherku.

Yang ada, hanya sekujur tubuh kaku yang di tutupi sekeping pampers dan sehelai kain pelekat.


Serupa Tapi Tidak Sama

July 23, 2007

Sudah dua minggu sejak ketiadaan anakku, aku tidak diangkat duduk di kerusi roda. Hari ini anakku pulang bercuti. Jadi petang ini aku berpeluang duduk dan mandi setelah lama badanku ini tidak di basahi air.

Di luar hujan mulai turun renyai-renyai. Walaupun cuaca agak sejuk aku tetap berdegil untuk di mandikan. Jika tidak di mandi petang ini, aku terpaksa menunggu seminggu lagi. Esok anakku akan kembali ke kolejnya. Badanku tidak boleh menunggu lebih lama lagi, rindunya pada air tidak terkira. Gelora rindunya bagaikan pungguk rindukan bulan. Seumpama Laila rindukan Majnun. Orang kata penantian adalah satu penyiksaan.

Anakkku memaut belakangku sementara isteriku mengampu bahagian kakiku. Mereka bersiap sedia untuk mengalihkan badanku dari katil ke kerusi roda.

“Satu, dua, tiga!” secara serentak badanku diangkat ke kerusi roda.

“Perghhh, beratnya badan abang, sakit pinggang Ain,”keluh isteriku sambil memicit-micit pinggangnya.

“Angkat sikit kepala abang, terkulai macam orang patah tengkok saja,”tegur isteriku sambil menolak daguku ke atas.

Memang begitu keadaanku bila setiap kali di angkat. Badan dan kepalaku terkulai ke depan. Aku tidak berupaya menahannya. Aku seperti pokok pisang tua yang di cantas jatuh menyembah bumi.

“Ikat badan ayah kau Amir, nanti jatuh pula ke bawah,”kata isteriku sambil menghulurkan tali pinggang kepadanya.

Tali pinggang biru yang mengikat badanku ini pernah megah terikat di pinggang anakku. Tali pinggang yang di pakai olehnya ketika bertarung di gelangang Taekwando. Kini tali pinggang itu menjadi miliku selamanya. Aku juga sedang bertarung di gelangang, bertarung dengan realiti kehidupan .

Setelah badanku di ikat rapi, kerusi rodaku di tolak keluar ke bahagian depan rumah. Di sini tempatku di mandikan sejak lima tahun dulu. Ruang ke bilik air rumahku tidak mesra OKU, laluannya sempit. Di sini juga satu hari nanti aku akan di mandikan untuk terakhir kalinya.

“Indah, ambil sabun,syampo dan berus gigi bawa ke sini,”jerit isteriku pada anakku yang leka mengadap PC.

Pili air dibuka, perlahan-lahan air disiramkan ke tubuhku. Bermula dari kaki naik ke badan. Bahagian badanku ibarat mencurah air di daun keladi, tidak terasa kesejukannya. Ketaran tubuhku mula terasa bilamana air mencecah di bahagian bahu dan mukaku.

Isteriku mengosok-gosok daki di badanku. Mataku pula tertumpu melihat gelagat se ekor kucing yang terbaring di dalam sangkar. Kedua-dua kakinya cedera di gelek kereta sebulan yang lalu. Kini kucing ini hilang upaya untuk bergerak dan berlari.

Simpati pada kucing yang tidak mampu bergerak, lalu di jadikan kucing angkat oleh anakku. Setiap hari di beri makan dan minum, di bersihkan najisnya, diletakan ubat di kakinya dan di mandikannya. Anakku yang satu ketika dulu takut dan geli dengan kucing kini mulai berani. Dari rasa simpati kini bertukar kepada rasa sayang.

Melihat keadaan kucing ini teringat pada diriku. Nasib kita lebih kurang sama saja. Kedua-duanya kurang upaya. Kau tidak boleh berjalan, aku pun begitu. Kau terbaring lesu, aku pula terbaring kaku. Kau tidak mampu mencari makanan sendiri, harapkan simpati orang. Begitu juga diriku, segala-segalanya perlukan bantuan.

Yang membezakan kita, aku manusia kau pula haiwan. Aku punya keluarga dan tanggung jawab, kau pula tidak. Aku punya akal dan fikiran, kau….aku tidak pasti.

“Buka gengaman jari abang, Ain hendak gosok jari-jari tuu,”pinta isteriku menyentak lamunanku pada si kucing yang kurang upaya.

Petang ini tiada lagu yang kudendangkan untuk menghibur hati. Hatiku sesuram dan sedingin cuaca petang ini. Aku tidak seceria seperti hari-hari selalu bila di mandikan. Nasib si kucing ini mencuri ruang fikiranku petang ini.

“Ambil berus gigi ini, belajar gosok gigi sendiri,”kata isteriku sambil menghulurkan berus gigi berkuasa bateri kepadaku. Inilah satu-satunya aktiviti yang mampu kulakukan sendiri setakat ini.

Hujan turun semakin lebat. Gigiku mula mengetap bibir kesejukan. Sebelum masuk ke dalam rumah aku sempat melihat kucing kurang upaya tadi. Kesian dia terbaring saja, tidak seperti kucing-kucing lain berlari ke sana dan ke sini. Entah sampai bila dia perlu bergantung hidup di atas ihsan orang.

Dalam hatiku berkata ‘Apa kurangnya aku’. Kita serupa tapi tidak sama…….


Di sana Sayang Di sini Cinta

July 22, 2007

Entri dari blog utamaku ”Nostalgiaku” 

Senangnya dalam hati
Kalau beristeri dua
Seakan dunia
Ana yang empunya

Kepada isteri muda
Ana saya padanya
Kepada isteri tua
I say I love you

Itu sebahagian lirik lagu Allahyaham Tan Sri P.Ramlee mengambarkan cintanya kepada kedua-dua isterinya. Kepada suami-suami yang ingin beristeri dua perlulah bersikap adil kepada isteri-isterinya. Buat isteri-isteri yang berkongsi suami pula hendaklah bertolak ansur agar rumah tangga bahagia tidak porak peranda. Jangan pula suruh suami tidur dekat kandang kuda macam filem ‘Tiga Abdul’ tuu…hehehe.

Apa yang hendak kuceritakan ialah tentang blogku ini. Kini aku punya dua blog yang namanya berbeza tetapi isi kandungnya serupa. Satu berwarna hitam dan satu lagi berwarna putih sesuai dengan tema blogku ‘Hitam Putih Warna Kehidupanku’.

Sesiapa yang alah dengan warna hitam bolehlah ke sana. Kepada yang gemar bersunyi-sunyian sesuailah di situ.

Walaupun punya dua blog aku akan cuba mengemaskinikan kedua-duanya. Di sana sayang di sini cinta. Blog di sini ibarat isteri tua dan blog di sana seumpama isteri muda. Walaupun isteri yang muda lebih cantik tetapi jasa isteri tua tidak mungkin di lupakan. Susah senang kita bersama.

Jika berkesempatan sila lawati blog WordPress ku Dari Katil Kekasihku

Kalau dua-dua merajuk ana kawen tiga……….


Terima Kasih Puan Sifu & Unika

July 19, 2007

Terima kasih buat teman2.
Blog di wordpress ini baru beberapa hari di bangunkan sebagai saudara kembar blog utama saya di blogspot. Segala entri di sini di impot masuk terus dari blog utama saya. Entri-entri asal yang mempunyai gambar atau youtube video tidak dapat dimasukkan di sini. Masih banyak terdapat kekurangan di sini kerana saya masih belum mahir dengan wordpress.

Saya tidak menghebahkan blog ini kerana masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Saya tidak menyangka blog ini dapat di jejaki oleh Unika.

Blog utama saya masih di blogspot, walau bagaimana pun saya akan mengemaskini blog  ini seperti blog utama saya.